Sri Pahang dilaporkan bakal mengharungi aksi pramusim mereka kali ini di Singapura dengan jangkaan dua pasukan bakal mereka hadapi untuk menguji kekuatan semasa mereka sebelum tirai saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula tidak lama lagi.
Skuad kendalian Fandi Ahmad menjadi antara paling mencuri tumpuan bagi mengharungi saingan musim ini selepas mereka tampil antara paling cemerlang pada tahun lalu.
Memasuki musim kedua musim ini bersama Fandi, beberapa rombakan dibuat mereka untuk tampil lebih baik berbanding tahun lalu di segenap posisi.
Bagi mempersiapkan pasukan tersebut lebih baik, Tok Gajah bakal berkunjung ke Singapura pada 16 April ini untuk mengharungi dua perlawanan persahabatan.
Walaupun begitu, tiada sebarang sasaran diletakkan oleh pengurusan tertinggi pasukan berkenaan sepanjang tempoh mereka berada di Singapura dengan ianya lebih bertujuan kepada persediaan awal sahaja.
Ianya diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang iaitu Datuk Mohammed Suffian Awang dengan menyatakan aksi pramusim itu sebagai salah satu bentuk persiapan mereka.
“Sebenarnya kelab tidak meletakkan sasaran kerana memberi lebih fokus kepada persefahaman dan keserasian pemain lama dan baharu terutama pemain import.
“Pada masa sama, dua perlawanan itu juga adalah aksi pramusim sebelum Liga M bermula Mei depan, buat skuad kendalian Fandi Ahmad dalam menilai prestasi semasa di kalangan pemain.
“Mengikut perancangan, Singapura adalah destinasi pramusim Sri Pahang musim baharu ini dan sebaik pulang dari Singapura, beberapa perlawanan persahabatan akan diadakan.
“Kita jangkakan persembahan terbaik mampu diterjemahkan Sri Pahang musim baharu ini terutama bakal beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Temerloh,” kata beliau menerusi Harian Metro.
Sepanjang berada di sana, Sri Pahang bakal menghadapi Albirex Niigata terlebih dahulu pada 16 April sebelum membuat perhitungan seterusnya bersama Geylang International berselang dua hari kemudian.
Untuk rekod, Perak sebelum itu sudah pun menghadapi dua pasukan berkenaan di Ipoh dalam aksi persahabatan dengan kedua perlawanan tersebut memihak kepada tuan rumah.
Melihat kepada prestasi serta kehadiran pemain baharu musim ini, ianya mungkin tidak akan memberi masalah buat Sri Pahang untuk mengharumkan nama Malaysia di bumi Singapura.