Sri Pahang dilaporkan bakal menandatangani enam sahaja pemain import pada musim 2024/2025 untuk mengharungi persaingan Liga Malaysia (Liga m) dan selebihnya bergantung kepada tenaga tempatan.
Selepas menandatangani ramai pemain import pada tahun lalu, skuad Tok Gajah jelas tampil kurang memberansangkan apabila ada sesetengah daripada mereka gagal menjelmakan kualiti permainan lebih positif bersama kelab.
Disebabkan itu, beberapa rombakan dibuat dengan terbaharu hanya enam sahaja import bakal digunakan Sri Pahang untuk mengharungi saingan Liga M musim ini.
Jelas suatu sumber menerusi perkongsian Harian Metro, tujuan enam sahaja import diambil adalah untuk memberi lebih banyak ruang buat pemain tempatan menyerlah bersama pasukan di atas padang.
“Setakat ini, hanya enam pemain import akan didaftarkan kerana percaya dengan kemampuan pemain tempatan.
“Dengan kemasukan pemain tempatan baharu yang berpengalaman, kelab percaya gandingan dan persefahaman antara pemain lama dan baharu mampu memperkasakan pasukan.
“Namun, jika ada sebarang perubahan pada saat akhir sebelum tarikh tutup pendaftaran, tambahan pemain import akan dilakukan, tetapi bergantung kepada keperluan.
“Kelab sememangnya mengharapkan senarai pemain yang didaftarkan bagi musim baharu ini adalah yang terbaik,” jelas sumber tersebut menerusi perkongsian telah dibuat oleh Harian Metro.
Untuk rekod, laporan menyatakan Kpah Sherman, Stefano Brundo, serta Kuvondik Ruziev sahaja menjadi pemain import pada tahun lalu yang dikekalkan mereka untuk saingan akan datang.
Sehingga kini, Sri Pahang sah menandatangani penyerang import baharu dari Ukraine iaitu Mykola Ahapov dan sudah pun diumumkan secara rasmi beberapa hari lalu menerusi media sosial mereka.
Sementara Manuel Hidalgo pula menjadi pemain import yang dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah pun membuktikan kemampuannya pada dua musim lalu bersama Sri Pahang sebelum beliau menyertai Kedah Darul Aman (Kedah) tahun 2023.
Jika dilihat pada senarai, Sri Pahang mempunyai satu sahaja lagi kuota pemain import bakal diperkenalkan mereka tidak lama lagi dan berkemungkinan beliau akan beraksi di posisi pertahanan pasukan.
Malah, pasukan itu juga turut diperkuatkan oleh bintang naturalisasi Harimau Malaya iaitu Sergio Aguero yang masih kekal bersama Tok Gajah untuk memperkukuhkan aspek tengah serta serangan.