Saingan Piala Malaysia 2023 terus bersambung dengan salah satu perlawanan paling mencuri tumpuan terarah kepada pertemuan antara Sri Pahang menentang wakil dari Liga M3, Harini FT.
Pada pertemuan sulung lalu, Sri Pahang terpaksa berhempas pulas di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi sebelum mencatat kemenangan tipis 3-2 untuk mengatasi lawan.
Walaupun ramai menjangkakan Sri Pahang mungkin tidak begitu menghadapi kesukaran bertemu skuad kendalian P. Maniam itu, nyata Harini FT tampil dengan begitu konsisten sejak tiupan awal wisel permainan dibunyikan untuk menyukarkan Tok Gajah.
Jangan lupa janji temu kita petang esok jam 5.30 petang ⚽️🏃🏽#SriPahang #WhereLegendsAreBorn #HakkaClo pic.twitter.com/ntciOCwBRC
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) August 19, 2023
Untuk rekod, tiga jaringan Sri Pahang sebelum itu diledak oleh pemain tengah kebangsaan iaitu David Rowley, Syazwan Andik, serta Muhammad Baqiuddin Shamsudin.
Dua gol yang diperoleh Harini FT pula terhasil menerusi pemain tengah mereka iaitu Muhammad Fikri Shah serta bekas penyerang berbisa Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha.
Untuk aksi petang ini yang bakal berlangsung di Stadium Darul Makmur (SDM), kelebihan pastinya terarah kepada Sri Pahang yang dijangka bakal mendapat sokongan padu daripada penyokong mereka sendiri.
Namun, ianya juga boleh dianggap sebagai tekanan kerana Sri Pahang perlu merekodkan keputusan positif untuk menjadi sebagai salah satu pasukan pilihan ramai mara ke pusingan seterusnya.
Tambahan pula, pasukan ini masih lagi segar dengan kekalahan pada minggu lalu di tangan Kedah Darul Aman (Kedah) dalam aksi Liga Super menerusi keputusan penuh 0-2 di gelanggang lawan.
Pastinya siri kebangkitan diperlukan kini oleh skuad kendalian Fandi Ahmad untuk menaikkan kembali motivasi mereka dengan melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam kejuaraan Piala Malaysia musim ini.
Antara fokus perlu diberikan kini pastinya terarah kepada konsistensi pertahanan mereka selepas dilihat sedikit merudum dan dibuktikan oleh Harini FT yang berjaya meledak dua gol.
Malah, Sri Pahang juga melepaskan dua gol ketika bertemu Kedah minggu lalu selepas ianya tampil serba longlai dan perlu diperbaiki bagi aksi malam ini untuk mengelakkan impian mereka ke pusingan seterusnya lebur.
Harini FT pula tampil dengan momentum sangat baik kini, selepas mereka baharu saja mencatat kemenangan ke-11 musim ini dalam saingan Liga M3 ketika menewaskan Armed Forces FC.
Jaringan hatrik daripada bekas pemain sayap kebangsaan, Khyril Muhymeen Zambri pastinya meningkatkan motivasi pasukan dan memberi isyarat kepada Sri Pahang tentang ketajaman mereka di posisi serangan.
Apapun, dijangka aksi petang ini bakal tampil dengan sangat sengit, kerana masing-masing masih terbuka untuk mendapatkan slot seterusnya ke pusingan suku akhir.