Masalah pembayaran gaji di saingan Liga Malaysia bukan perkara baharu. Saban musim, ia bagaikan laporan wajib yang menghiasai dada media cetak dan elektronik.
Malah ia bagaikan barah dan virus yang sedang merosakkan bola sepak negara. Baik pasukan utama, skuad Piala Presiden, atau pun pasukan belia, semuanya pernah menjadi mangsa kegagalan pembayaran gaji oleh persatuan bola sepak di negara ini.
Kesannya mendalam. Ia bukan sekadar mengenai prestasi yang akan ditampilkan oleh pemain di atas padang yang longlai kerana gagal fokus kepada masalah kewangan susulan masalah pembayaran gaji oleh persatuan sebagai majikan.
Lebih daripada itu, ia turut boleh mengundang gejala rasuah kerana desakan hidup. Siapa harus dipersalahkan? Pemain? Persatuan? Atau media yang sering kali dituduh suka melakukan propaganda?
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim berkata, hanya menerusi urus tadbir yang efisyen dan teratur maka masalah tunggakan gaji boleh diatasi.
Pengurusan yang betul dan profesional di dalam pasukan juga diyakini menghalang pemain daripada mendekati bookie.
Sebagai sebuah badan bebas di negara ini, Datuk Alias ketika bercakap kepada Arena Metro bekata, SPRM akan sentiasa memantau pasukan-pasukan bertanding di Liga Malaysia agar tidak terjerumus dengan gejala rasuah.
“Kita memang tidak dapat nafikan bahawa ada kemungkinan berlakunya rasuah ataupun kegiatan mengatur perlawanan dalam bola sepak.
“Insya-Allah, jika perkara ini kita sentiasa semai dalam pemain terutama pemain generasi muda, tak mustahil perbuatan rasuah ini dapat dijauhi,” katanya pada majlis ikrar bebas rasuah oleh pemain dan pegawai UiTM FC, semalam.
Timbalan Naib Canselor HEP UiTM Prof Dr. Azizan Abdullah berkata pemain juga harus mengambil ikhtibar daripada peristiwa hitam yang pernah menghantui bola sepak negara satu ketika dahulu.
“Sebagaimana kita tahu tahun 1990-an dulu, banyak berlaku salah laku (rasuah dan mengatur perlawanan) pemain ini, tapi selepas itu kesedaran pemain cukup tinggi,” ujar beliau yang juga merupakan Presiden UiTM FC,
“Walau bagaimanapun di UiTM FC ini, kita memang menekankan disiplin dan menolak rasuah.” katanya.