Sky Sports melaporkan bahawa keluarga Glazer tidak akan menjual Manchester United selepas laporan terdapat pihak dari Arab Saudi berminat untuk mengambil alih juara 20 kali Liga Perdana Inggeris itu.
Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohamad bin Salman ialah antara individu terkaya dunia yang dilaporkan berminat untuk melabur bersama salah sebuah kelab utama Eropah, dan manjadikan Manchester United sebagai sasaran.
Kehadiran kuasa kewangan dari Timur Tengah sudah pun memberikan impak kepada seteru setempat United, selepas Manchester City diambil alih oleh Sheikh Mansour beberapa tahun yang lalu.
United diambil alih oleh keluarga Glazer sejak 2005 dan kelab tersebut dianggarkan bernilai £3 billion pada hari ini.
Keluarga Glazer mengambil alih pegangan di dalam kelab tersebut pada harga £790 juta, dan Sky Sports melaporkan tawaran sebanyak £4 billion telah dilakukan untuk pertimbangan oleh keluarga Glazer oleh Putera Mohamad bin Salman.
Laporan kewangan Manchester United yang dikeluarkan pada bulan lalu merekodkan keuntungan mencecah £590 juta sehingga Jun 2018. Namun hutang kelab berkenaan hasil pengambil alihan oleh keluarga Glazer kekal pada paras £487 juta.
Hubungan di antara Arab Saudi dan Manchester United sebenarnya bukannya asing. Kerajaan Arab Saudi sebelum ini telah menandatangani perjanjian untuk membina infrastruktur bola sepak di negara tersebut pada 12 bulan yang lalu.
United juga menandatangani perjanjian tajaan bersama Saudi Telecom sejak 2008, dan pengerusi United, Avram Glazer turut dijadualkan hadir ke Riyadh pada Selasa hadapan untuk menghadiri satu perjumpaan berkenaan pelaburan global.
Pihak Arab Saudi dilaporkan ingin mengembangkan pelaburan mereka di dalam bidang sukan, dan kini sedang membina sebuah bandar sukan di Al Qadiya yang terletak berhampiran dengan Riyadh.
Pihak pelabur dari negara berkenaan turut dilaporkan sedang menyiapkan cadangan untuk menganjurkan kejohanan baru anjuran FIFA untuk menggantikan Piala Dunia Kelab.