Quantcast

BERITA

Southampton Umum Pemecatan Mauricio Pellegrino Secara Rasmi

Liga Perdana Inggeris musim ini kini hanya berbaki lapan perlawanan dan kelab Southampton FC mengambil keputusan untuk memecat pengendali skuad itu dari Argentina, Mauricio Pellegrino selepas pasukan itu pamer prestasi yang mengecewakan.

Pellegrino menandatangani kontrak di St Mary selama tiga tahun sejak Jun lalu namun Southampton mengumumkan dalam satu kenyataan mereka sudah berpisah dengan pengurus berusia 46 tahun itu ketika kelab itu berada satu tangga dan satu mata di atas zon penyingkiran.

“Kelab akan melantik pengurusan baru secepat mungkin dan usaha mencari pengganti sudah mula dilakukan,” menurut kenyataan itu.

Penolong jurulatih Carlos Compagnucci dan Xavier Tamarit turut meninggalkan kelab itu.

Prestasi mengecewakan yang menyaksikan Saints hanya menang satu daripada 17 perlawanan Liga Perdana menjadi petanda kepada penyingkiran Pellegrino.

Kekalahan terkini, 0-3 kepada satu lagi pasukan bawahan Newcastle Sabtu lalu mencemaskan pimpinan Southampton di mana kelab itu berisiko tersingkir daripada liga utama sejak melayakkan diri pada 2012.

“Saya melihat beberapa pemain mengalah dan secara jujurnya kita tidak boleh menunjukkannya,” kata Pellegrino selepas kekalahan memalukan di St James’ Park.

“Anda boleh kalah, anda boleh bermain dengan teruk tetapi anda tidak boleh menunjukkannya di padang.

“Atas sebab ini, saya ingin meminta maaf kepada penyokong kerana kami tidak mewakili kelab dengan baik. Ini perkara terburuk yang kami lakukan hari ini.”

Bekas pengurus Blackburn, Manchester City dan Stoke Mark Hughes dikatakan menjadi pilihan untuk menggantikan Pellegrino dan Marco Silva turut dikaitkan dengan jawatan itu selepas dipecat Watford pada Januari.

Pellegrino yang juga bekas jurulatih Alaves bagaimanapun membawa kelab itu ke suku akhir Piala FA, di mana kelab yang tidak berpengurus itu bakal bertandang ke kelab divisyen ketiga Wigan Ahad ini. – AFP

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!