Gonzalo Soto Mahu Beraksi Di Malaysia, Tangguh Keputusan Sertai Persib Bandung

Bekas pertahanan tengah kelab bola sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Gonzalo Manuel Soto dikhabarkan menangguh keputusan untuk bersama kelab Liga 1, Indonesia, Persib Bandung.

Ini adalah disebabkan, pemain yang kini berstatus ‘free agent’ itu masih berminat untuk kekal di Malaysia. Soto pernah beraksi bersama PKNS FC bermula pada musim 2016 sehingga pertengahan musim 2017.

Soto telah digugurkan akibat kecederaan lutut kiri sehingga memaksa Soto melupakan keseluruhan aksi musim lalu dan terus pulang ke Argentina untuk mendapat rawatan atas kecederaannya.

“Saya sudah pulih 100 peratus dan mahu kembali ke Malaysia,” ujar Soto kepada Berita Harian sekitar November lalu dan memaklumkan sedia untuk beraksi untuk mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia.

Gonzalo Soto (12) Foto: UTUSAN/MAHATHIR ALI

“Saya membuka pintu kepada mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya musim depan.

“Kalau ada yang masih ragu-ragu dengan tahap kecederaan atau kecergasan saya, mereka boleh melakukan ujian ke atas saya,” ujarnya lagi mengenai tahap terkini kecergasannya.

Kenyataan yang dikeluarkannya itu menunjukkan betapa Soto menyukai suasana bola sepak di Malaysia. Dia turut menyatakan sepanjang di Argentina, dia tidak pernah ketinggalan mengikuti perkembangan Liga Malaysia.

“Ini kerana apabila meninggalkan PKNS, saya bertekad untuk kembali bermain di sini bila pulih daripada kecederaan. Saya sukakan bola sepak Malaysia yang sangat meriah,” ujar pemain berusia 27 tahun itu lagi.

Mengulas mengenai status tawaran daripada Persib Bandung, Soto memaklumkan hanya akan mempertimbangkan tawaran tersebut jika gagal mendapatkan sebarang kelab di Malaysia.

Gonzalo Soto (kiri). Foto Osman Adnan.

“Tawaran Persib Bandung itu agak menarik kerana mereka bakal dibimbing oleh Gomez, jurulatih yang terbukti kehebatannya apabila mencipta pelbagai kejayaan bersama JDT.

“Apatah lagi peluang untuk berganding dengan pemain bertaraf legenda seperti Essien yang berpengalaman beraksi dengan kelab besar seperti Real Madrid, AC Milan dan Chelsea.

“Tapi, hati saya masih di Malaysia, justeru saya menangguhkan dahulu jawapan kepada Persib Bandung,” tambahnya lagi kepada Berita Harian.

Menurut pemain yang mempunyai ketinggian 1.9 meter itu lagi, ejennya kini sudah berada di Malaysia untuk mengintai peluang untuknya kembali beraksi di sini pada musim 2018.

Gonzalo Soto (tengah) bersama rakan sepasukan di PKNS FC. Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat.

Sepanjang 86 perlawanan bersama PKNS FC, Soto cemerlang membantu kelab itu dengan menjaringkan 14 gol dan membawa kelabnya ke pentas akhir Piala FA dan juga suku akhir Piala Malaysia.

Dan selaku kapten PKNS FC pada musim 2016 tersebut, Soto juga tidak menyembunyikan hasrat untuk kembali bersama bekas kelabnya itu lagi.

 

Leave a Reply