Son Mohon Maaf, Bersyukur Tottenham Kelab Yang Sentiasa Menghormati Dirinya

Acara bola sepak Sukan Asia ditetapkan khas untuk peringkat umur Bawah-23. Namun demikian setiap negara yang mengambil bahagian dibenarkan untuk menamakan tiga pemain senior di dalam pasukan masing-masing.

Bagi gergasi Asia Korea Selatan, tiga pemain senior yang turut dipanggil untuk membawa cabaran di Jakarta dan Palembang ialah penyerang Tottenham Hotspur, Son Hyeung Min; penjaga gol yang diberi gelaran K-Popdari Daeugu FC, JO Hyeonwoo; dan juga penyerang utama Gamba Osaka, HWANG Uijo.

 

Tatkala K-League 1 sedang rancak berlangsung, dan sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) akan bermula pada bulan hadapan, tiada masalah daripada pemain-pemain ini untuk mendapatkan pelepasan dengan alasan Sukan Asia tiada di dalam kalendar kejohanan oleh FIFA.

Sukan Asia akan berlangsung mulai 14 Ogos akan datang, tiga hari selepas Tottenham membuka tirai saingan EPL menentang Newcastle United.

Jika Korea Selatan yang merupakan juara bertahan kejohanan dalam acara bola sepak pada 4 tahun lalu berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir yang dijadualkan pada 1 September, ini bermakna Son akan terlepas perlawanan penting Tottenham menentang Fulham, Manchester United dan juga Watford.

Sambil menyedari kepentingan dan tuntutan untuk menggalas tanggungjawab kepada negara, Son hanya mampu memohon maaf kepada pasukannya.

Ketika bercakap kepada Goal Son dipetik sebagai berkata:

“Saya harus memohon maaf kepada Tottenham Hotspur. Saya tidak akan bersama pasukan untuk tempoh yang lama. Oleh itu, saya perlu memohon maaf kepada penguru dan juga rakan sepasukan yang lain.”

“Saya pasti rakan sepasukan yang lain mampu mengisi kekosongan yang saya tinggalkan. Namun saya masih rasa bersalah untuk tidak bersama pasukan di awal musim.”

“Ia penting untuk saya melakukan sedikit pengorbanan agar saya bersedia untuk Tottenham Hotspur selepas tamat tugasan antarabangsa di Sukan Asia.”

Son baru-baru ini telah menandatangani kontrak baru untuk kekal bersama Spurs sehingga 2023, dan Son turut melahirkan perasaan bersyukur atas kepercayaan yang kelab itu berikan terhadap dirinya.

“Ya, saya sangat berterima kasih kepada kelab. Tottenham adalah kelab yang memberi saya peluang untuk memulakan langkah pertama di EPL.”

“Saya harus berterima kasih kepada mereka kerana menyediakan persekitaran yang sesuai buat saya. Kemudian mereka membuat tawaran yang bagus, dan saya tidak teragak-agak untuk bersetuju untuk terus kekal di sini.”

KAZAN, RUSSIA – JUNE 27: Son Heung-Min of Korea Republic fires in a shot on goal past Mats Hummels of Germany during the 2018 FIFA World Cup Russia group F match between Korea Republic and Germany at Kazan Arena on June 27, 2018 in Kazan, Russia. (Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)

“Kelab ini sentiasa menghormati saya. Kerana itu saya tidak teragak-agak untuk bersetuju engan kontrak baharu itu.”

Son menyertai Tottenham dari Bayer Leverkusen pada 2015, dan merupakan pemain utama kelab dari London itu.

Sejak menyertai Spurs dua musim yang lalu, Son telah menjaringkan 26 gol untuk kelabnya itu.

Soalannya ialah, jika pasukan seperti Tottenham Hotspur boleh sahaja melepaskan pemain utama mereka seperti Son Heung-Min untuk menyertai pasukan kebangsaan yang tiada kepentingan untuk Tottenham sendiri, apakah alasannya persatuan bola sepak negeri di Malaysia tidak membenarkan pemain di bawah kendalian masing-masing untuk menyertai pasukan negara mereka sendiri?

Sehingga semalam, hanya Nor Azam Abdul Azih dan Matthew Davies, kedua-duanya dari Pahang FA masih lagi belum melaporkan diri di kem latihan skuad negara.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menganggap dua pemain itu tidak berminat bersama skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ke Sukan Asia Jakarta-Palembang bulan depan sekiranya gagal melaporkan diri sebelum pasukan pada petang tadi.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN