Medal kejuaraan Sukan Asia 2018 di Indonesia ini sangat penting buat pemain sayap menyerang Tottenham Hotspur yang berasal daripada Korea Selatan, Son Heung-min.
Umum mengetahui situasi yang kini dilalui oleh pemain berusia 26 tahun ini dan ia pastinya menjadi motivasi buat dirinya serta rakan sepasukan untuk meraih kejuaraan Sukan Asia.
Son diberitakan boleh mendapat pengecualian dari program latihan khidmat negara di negaranya itu jika beliau dan rakan sepasukan berjaya dalam misi meraih pingat emas.
Pada edisi yang lalu, Son tidak mendapat pelepasan kelab lamanya Bayer Leverkusen dan Korea Selatan telah berjaya menjuarainya selepas menewaskan negara jiran, Korea Utara di final.
Dan Spurs dilihat begitu mengambil berat berhubung isu ini serta sudi melepaskan Son untuk ke Indonesia walaupun pihak kelab berhak untuk tidak melepaskan pemain-pemain mereka.
Mengapa Son tidak mahu sertai program tersebut? Untuk lebih jelas, pembaca boleh baca artikel ini;
Ketika Prestasi Memuncak, Son Heung-Min Perlu Tinggalkan Bola Sepak 21 Bulan Atau Dipenjara
Son tidak beraksi dalam aksi pertama Korea Selatan kelmarin yang menyaksikan mereka berkenduri gol ke atas Bahrain. Korea Selatan menang 6-0 ke atas lawan mereka itu.
Dikhabarkan, Son akan diturunkan untuk aksi pertamanya dalam perlawanan kedua Korea Selatan dalam peringkat kumpulan iaitu ketika menentang skuad negara kita, Malaysia.
Dengan reputasinya sebagai antara peledak berbahaya di Spurs dan juga motivasi untuk meraih medal kejuaraan, jelas, Datuk Ong Kim Swee dan anak-anak buah perlu lebih berhati-hati.
Jika Bahrain yang rankingnya jauh lebih tinggi dari Malaysia pun boleh dibelasah, apa pula nasib skuad kita? Dan diakui, ya, ranking bukan penentu segalanya kerana ini skuad B-23.
Namun, kekuatan Korea Selatan dalam edisi kali ini mungkin ‘agak’ lebih dari selalu. Manakan tidak, mereka juga membawa 4 pemain yang baru sahaja beraksi di Piala Dunia 2018 yang lalu.
“Sudah semestinya misi kami adalah pingat emas tetapi perjalanan untuk ke final itu masih lagi jauh. Bagaimana pendekatan mentaliti kita untuk setiap perlawanan adalah penting.
“Sukan Asia sentiasa berada dalam pemikiran saya,” jelas Son kepada pihak media seperti yang telah dilaporkan oleh ESPN, sejurus dia tiba di Indonesia pada Isnin lalu.
Jumaat ini, Malaysia akan turun menentang juara bertahan Sukan Asia ini dalam perlawanan kedua Kumpulan E di Stadium Jalak Harupat, Indonesia, pada jam 8.00 malam.
Untuk rekod Sukan Asia, Malaysia pernah tumpas 0-3 kepada Korea Selatan dalam aksi Kumpulan A pada edisi 2014 dalam perlawanan yang dilangsungkan di tanah air mereka itu.