Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba harus menyerahkan permohonan pindah untuk membenarkan beliau dijual kepada Real Madrid. Ianya juga bukan satu rahsia lagi Zinedine Zidane berminat mendapatkan pemain ini untuk skuad Los Blancos.
Laporan oleh akhbar The Sun berkata pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer tidak kisah untuk membenarkan pemain itu untuk ke Estadio Santiago jendela perpindahan musim panas ini.
Solskjaer ubah fikiran
Pogba dianggarkan bernilai £120 juta, dan jumlah tersebut boleh membantu Solskjaer untuk mendapatkan pemain baru untuk membina kembali pasukan pada musim hadapan.
Solskjaer sebelum ini dilaporkan pernah berkata akan membina asas pasukan Manchester United di sekeliling Pogba.
Namun setelah niat pemain itu semakin jelas tekad mahu ke Madrid, pengurus dari Norway itu sedar ia adalah satu risiko untuk bergantung harap kepada seorang pemain yang tidak boleh memberikan fokus sepenuhnya sekiranya dipaksa kekal – pada musim penuh pertamanya sebagai pengurus di Old Trafford.
Woodward sekat
Enggan membenarkan Pogba pergi begitu sahaja walaupun sekiranya Real Madrid sanggup membayar nilai £120 juta itu, Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward dilaporkan mahu Pogba menyerahkan permohonan pindah kepada pihak kelab terlebih dahulu, sebelum membuka pintu rundingan.
Dalam laporan oleh Eurosport, permohonan pindah oleh Pogba bermakna Manchester United tidak perlu membayar pemain tersebut pelbagai jenis bonus kewangan yang terdapat di dalam kontrak pemain itu.
Perkara tersebut pasti tidak disenangi oleh ejen kepada Pogba, Mino Raiola yang tidak gemar melakukan kompromi terhadap sebarang perkara yang boleh mendatangkan kerugian.
Pogba merupakan antara pemain yang menerima bayaran gaji termahal di Old Trafford. Keenganan memberikan komitmen untuk kekal, dan tiada petanda prestasi beliau akan konsisten – permohonan pindah itu dilihat sebagai langkah mengurangkan kerugian di pihak United.