Ole Gunnar Solskjaer kini mencatatkan permulaan sempurna dalam 7 perlawanan – dengan 7 kemenangan. Sementara di dalam liga, beliau mencatatkan 6 kemenangan berturut-turut.
Menurut Solskjaer – yang kini menjadi interim di Old Trafford – kenangan menjadi pengurus Man. United akan beliau kenang sehingga ke akhir hayatnya.
Manchester United menang 2-1 ke atas Brighton. 2 gol United adalah menerusi Marcus Rashford dan juga Paul Pogba. Sementara Pascal Gross menjaringkan 1 gol untuk pasukan pelawat.
Kemenangan tersebut juga pada hari yang menandakan genap sebulan Solskjaer menjadi pengurus Man. United. Buat masa ini, Man. United tidak menolak kemungkinan meletakkan nama Solskjaer sebagai salah seorang calon untuk jawatan tetap itu selepas musim ini berakhir.
Namun berdasarkan kontrak semasa, Man. United pastinya masih menghormati tempoh pinjaman pengurus tersebut dari Molde. Solskjaer berkata: “Fantastik. Saya tak ada perkara untuk dirungutkan, bolehkah saya merungut?”
“Saya hanya mampu tersenyum. Perkara ini akan menjadi salah satu perkara yang saya akan ingat sepanjang hayat saya. Sudah sebulan saya di sini, dan ianya terasa hebat untuk berada di sini.”
Solskjaer turut memuji ketajaman Marcus Rashford. Dan sudah pastinya pemain itu mendapat manfaat daripada berlatih dengan pakar di pusat latihan.
Kini Man. United memberikan perhatian untuk saingan Piala FA – pusingan ke-4 – menentang Arsenal pada Sabtu hadapan.