Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer menyandarkan harapannya kepada Cristiano Ronaldo untuk menewaskan Villareal pagi ini.
Beraksi di laman sendiri, Solskjaer pastinya mahukan tiga mata selepas permulaan sumbang menentang Young Boys di Switzerland pada aksi pembukaan.
Bercakap kepada media menjelang aksi UEFA Champions League (UCL) pagi ini, Solskjaer berharap Ronaldo dapat meneruskan rekod cemerlang beliau menentang Villareal.
Pada hemat beliau, adalah hampir pasti jaringan dapat dihasilkan apabila Ronaldo diturunkan.
“Anda boleh katakan ianya hampir pasti jika anda mulakan Cristiano Ronaldo, anda akan dijamin dengan satu gol.”
Untuk rekod, Ronaldo telah menjaringkan 13 gol menentang Villareal dan ini menunjukkan pemain itu begitu gemar membocorkan gawang pasukan itu.
“Beliau sentiasa bersemangat untuk mencari gol setiap kali berada di atas padang.”
“Saya tahu pasukan akan lebih maju dengan Ronaldo, lebih banyak beliau memahami cara permainan maka kami akan menjadi pasukan yang lebih baik.”
Sungguhpun begitu, Solskjaer menegaskan yang pasukannya masih perlu beraksi baik dalam mencipta dan mengambil peluang.
Hal ini kerana, ianya bukan mudah untuk menentang Villareal yang mempunyai pemain pertahanan yang hebat.
“Raul Albiol dan Pau Torres adalah dua pemain pertahanan yang cukup hebat. Pastinya perlawanan ini bukannya mudah untuk dihadapi.”
Solskjaer mendedahkan yang Luke Shaw akan diberi peluang untuk terlibat dengan perlawanan UCL ini walaupun mengalami kecederaan tempoh hari.
Tetapi ketua pasukan iaitu Harry Maguire akan disisihkan.