Sebaik sahaja diumumkan sebagai pengurus tetap Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer telah menetapkan pendirian jelas bagi melancarkan tugasannya bersama The Red Devils.
Pengendali kelahiran Norway itu mahu pembantunya iaitu Mike Phelan, Micheal Carrick dan Kieran McKenna juga berada di Manchester United secara tetap.
Menurut sumber Goal, walaupun United tidak mengumumkan mengenai masa depan pembantunya, Solskjaer tanpa berselindung untuk meneruskan kerjasama dengan ketiga-tiga individu penting buatnya itu.
Beliau turut mengakui pembantunya turut memainkan peranan penting dalam membantu kebangkitan semula Manchester United ketika ini.
”Mike (Phelan) adalah bahagian yang penting dalam persediaan pasukan dan mereka saling berkomunikasi antara satu sama lain.”
”Sudah tentu, saya telah menyuarakan pendapat saya dan dengan barisan (pembantu) yang kita ada sekarang, saya sangat berharap ia akan diteruskan. Kakitangan kami bekerjasama dengan baik, itu adalah kunci untuk mendapatkan keputusan yang baik.”
”Saya tidak melihat untuk melakukan sebarang perubahan di sini dan mereka juga tidak mengatakan tidak mahu meneruskan kerjasama ini, jadi saya harap kami akan terus kekal bersama.”
Keputusan yang dibuat pengurusan tertinggi Manchester United ini sudah pasti merupakan tindakan yang amat disokong para peminat setia mereka kerana Solskjaer telah membuktikan kredibilitinya sebaik sahaja mengambil alih jawatan daripada Jose Mourinho.
Sementara itu, penulis sempat juga meminta pandangan daripada Dwight Yorke dalam satu majlis di Singapura, kelmarin mengenai masa depan bekas rakan sepasukannya itu.
”Solskjaer menjalankan tugasnya dengan cemerlang dan berjaya memperoleh kemenangan. Dia sepatutnya kekal dan terus diberikan jawatan pengurus tetap Manchester United.”
Kini, apa yang diharapkan Yorke menjadi kenyataan selepas Solskjaer telah ditawarkan kontrak tiga tahun bagi membimbing United.