Selepas berjaya menyingkirkan Paris Saint-Germain (PSG), skuad Ole Gunnar Solskjaer sekali lagi bakal diuji apabila perlu menghadapi cabaran Barcelona pada peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
Beberapa bulan yang lalu, tiada siapa yang meletakkan keyakinan keatas Manchester United untuk menewaskan PSG memandangkan pada ketika itu pasukan sedang menghadapi kemerosotan prestasi dibawah kendalian Jose Mourinho.
Namun, ramalan itu berubah apabila menyaksikan United berjaya melakukannya. Dan kini, United memerlukan satu lagi keajaiban untuk menyingkirkan Barcelona yang diperkuatkan bintang utama, Lionel Messi.
Rahsia Ferguson
Walaubagaimanapun, Man. United tidak perlu begitu cemas dan takut berdepan Barcelona kerana bekas pengurus mereka, Sir Alex Ferguson pernah mendedahkan rahsia untuk menewaskan gergasi Sepanyol itu di dalam buku autobiografi yang ditulis beberapa tahun yang lalu.
Ketika United dibimbing Ferguson, pasukan itu pernah dua kali bertemu Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara iaitu pada tahun 2009 dan 2011.
Namun, kedua-dua pertemuan itu memihak kepada Barcelona. Kegagalan tersebut membuatkan Ferguson menyiapkan beberapa taktikal buat pasukan dimasa hadapan untuk menghentikan kemaraan Barcelona dan Lionel Messi, khususnya.
Taktikal ini yang harus dicuba oleh Solskjaer apabila Manchester United menghadapi Messi dan Barcelona bulan hadapan.
“Untuk menewaskan Barcelona dalam situasi itu, anda memerlukan pertahanan tengah yang sangat positif.”
“Rio dan Vidic berada di era di mana mereka memilih untuk mengekalkan ruang kosong. Tidak ada yang salah dengan itu. Cukup betul. Walau bagaimanapun, berdepan Barcelona, pendekatannya amat terhad.”
Berani berhadapan Messi
Menurut Ferguson, beberapa pasukan di Liga Perdana Inggeris (EPL) amat gemar melakukan pertahanan dengan melihat ruang kosong (menandakan zon).
Namun, Ferguson menyedari bahawa apabila berdepan Barcelona, mereka memerlukan pemain pertahanan yang berani menghadapi Messi secara langsung.
“Anda memerlukan pertahanan tengah yang bersedia untuk mendekati Messi dan tidak bimbang tentang apa yang bakal terjadi di belakangnya.”
“Ya, Messi akan bermain secara berhampiran. Itu tidak penting. Beliau tidak terlalu mengancam di sisi tepi daripada di tengah-tengah.”
Kata Ferguson lagi, “Ketika kami menghadapi Messi lagi di Liga Juara-Juara, saya akan meletakkan [Phil] Jones ataupun Smalling dan Evans tepat di hadapan Messi. Saya tidak akan biarkan beliau menyeksa kami lagi.”