Quantcast

BERITA

Solskjaer Berharap Anthony Martial Dan David De Gea Dapat Terus Kekal Bersama Manchester United

Manchester United sedang berada dalam momentum terbaik selepas pasukan itu berjaya memperolehi dua kemenangan berturut-turut ke atas Cardiff dan Huddersfield dibawah kendalian pengurus sementara, Ole Gunnar Solskjaer.

Sebentar lagi, Red Devils akan melayan kunjungan A.F.C Bournemourth di Old Trafford untuk perlawanan ke-19 Liga Perdana Inggeris (EPL).

Semestinya United mahu memburu kemenangan kedua di Old Traffod sekaligus menutup tahun 2018 dengan ‘aura kebangkitan’ selepas kelab itu memecat Jose Mourinho.

Dalam pada itu, Solskjaer mengakui beliau sedang berdepan situasi sulit untuk mempertahankan beberapa pemain utama untuk mereka kekal bersama pasukan.

Beliau yang sekadar mengendali Manchester United hingga hujung musim ini mengakui beberapa pemain seperti, Anthony Martial dan David de Gea masih belum ada seberang perancangan untuk kekal di Old Trafford dan berkemungkinan mereka akan berhijrah meninggalkan pasukan itu pada perpindahan Januari ini.

Cuba pujuk pemain

Penyerang pasukan, Martial dan penjaga gol, De Gea dilaporkan masih gagal dalam rundingan bersama naib pengerusi eksekutif Ed Woodward mengenai kontrak jangka panjang dengan tiada tanda ia berjaya dimuktamadkan.

Walaupun beberapa laporan mendedahkan bahawa United sudah mengaktifkan sambungan kontrak setahun untuk kedua-dua pemain itu akan kekal hingga hujung musim depan, kerisauan Solskjaer masih jelas terhadap dua pemainnya itu.

“Saya tahu kelab mahukan mereka menandatangani kontrak, sudah tentu, kerana mereka pemain berkualiti.”

“Terpulang kepada pemain, tapi apabila anda berada di Man United tiada gunanya ke tempat lain.” jelas Solskjaer.

Solskjaer bagaimanapun berharap dapat menasihati kedua-dua pemain itu supaya terus kekal berbakti bersama Manchester United yang diakui dirinya sendiri adalah merupakan kelab terbaik di dunia.

Kata Solskjaer, “Anda berada di tempat terbaik. Ia kelab terbesar di dunia.”

“Saya berharap boleh membantu atau menasihatkan pemain ini supaya mereka kekal di sini.”