Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer enggan meletakkan beban kekalahan pasukannya kepada BSC Young Boys dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di atas bahu Jesse Lingard.
United tewas 2-1 kepada juara Switzerland itu dalam perlawnaan pembukaan kumpulan F yang turut menyaksikan Aaron Wan-Bissaka dibuang padang pada separuh masa pertama.
Kesilapan Lingard membuat hantaran ke belakang pada saat-saat akhir mengakibatkan United pulang dengan tangan kosong walaupun mendahului pada awal permainan hasil jaringan Cristiano Ronaldo.
“Kita ini manusia, semua pemain bola sepak melakukan kesilapan,” ujar Solskjaer mengulas mengenai Lingard ketika ditemu bual selepas perlawanan.
“Seperti Jesse, tiada pemain yang suka melakukan kesilapan, tetapi ia adalah sebahagian daripada permainan. Kami belajar daripadanya, dia juga akan belajar dari kesilapannya. Dia juga sudah bersedia untuk aksi Ahad ini berdepan West Ham.”
Lingard menikmati tempoh yang cukup cemerlang sepanjang dipinjamkan ke West Ham United pada separuh kedua musim lalu dengna menjaringkan sembilan gol dari 16 perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Beliau turut menjaringkan satu gol ketika United menewaskan Newcastle pada hujung minggu lalu.
Solskjaer juga menyifatkan kekasaran yang dilakukan oleh Wan-Bissaka adalah perkara normal sebagai pemain pertahanan, cuma baginya pemaiannya itu tidak bernasih baik.
Dalam pada itu, Ronaldo juga menuntut agar rakan sepasukannya segera bangkit dari kekalahan yang dialami kerana mereka masi mempunyai banyak perlawanan lagi di peringkat kumpulan.
Penyerang Portugal itu melebarkan rekodnya selaku penjaring terbanyak UCL dengan gol ke-135 dan turut menyamai rekod penampilan terbanyak milik bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Iker Casillas dengan 117 perlawanan.