Alexis Sanchez antara pemain yang dilaporkan kembali cergas menjelang pertemuan Man. United dengan Newcastle pada awal pagi esok.
Pengurus sementaran Man. United, Ole Gunnar Solskjaer yakin beliau akan mampu mengeluarkan yang terbaik daripada Alexis Sanchez.
Sanchez sebelum ini disisihkan kerana masalah kecederaan hamstring pada November. Sempena kepulangannya ke dalam pasukan utama, Alexis Sanchez berharap akan dapat memulakan kebangkitan kariernya di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.
Sejak menyertai Man. United pada Januari 2018, Alexis Sanchez masih gagal memberikan impak maksimum di atas padang seperti yang diharapkan oleh Man. United.
Manchester United kini sudah menjaringkan 12 gol dalam 3 perlawanan pertama di bawah kendalian Solskjaer. Mereka lebih pragmatik dan ofensif di dalam sistem permainan. Solskjaer berkata: “Beliau ‘menangis’ sedikit untuk bangkit semula, kerana beliau mahu bermain, itulah salah satu karakter Sanchez.”
“Alexis berjaya menyertai latihan kami dengan cukup cemerlang dalam masa beberapa hari ini. Dan beliau sebelum ini meminta untuk terlibat dalam perlawanan menentang Bournemouth. Namun kami harus teliti dalam menguruskan beliau.”
“Sanchez sudah berehat sebulan. Dan beliau akan terlibat dalam aksi menentang Newcastle.”
Ole Gunnar Solskjaer yakin corak permainan Man. United pada hari ini akan memberikan manfaat kepada Sanchez.
“Saya rasa Sanchez pemain yang akan mendapat manfaat daripada sistem permainan kami yang aktif bertukar peranan sesama pemain, bergerak dan sentiasa berkitaran, mencipta lebih banyak peluang.”
“Jika kami mencipta lebih banyak peluang di final third, beliau akan menjadi aset penting untuk kami.”
Alexis Sanchez musim ini hanya bermula dalam 5 perlawanan di bawah Jose Mourinho. Gol tunggal beliau dalam EPL adalah ketika masuk sebagai pemain gantian – dan menjaringkan gol kemenangan 3-2 ke atas Newcastle pada Oktober.