‘Solidariti Buat Lee Zi Jia’ – Seluruh Dunia Bersatu Menentang Kebangsatan BAM

Lee Zi Jia BAM

Tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggantung pemain badminton perseorangan utama negara, Lee Zi Jia daripada menyertai sebarang kejohanan antarabangsa selama dua tahun bukan sahaja menjadi sasaran kemarahan peminat sukan di negara ini, tetapi turut menarik perhatian jagoan-jagoan badminton dunia yang lain.

Antara yang mempertahankan Zi Jia adalah pemain perseorangan nombor satu dunia, Viktor Axelsen yang menyifatkan tindakan BAM merupakan keputusan gila.

“Jika pemain (dalam kes ini Lee Zi Jia) merasakan pilihan terbaik buat dirinya adalah mengikut haluan lain di mana dia lebih bebas sebagai pemain [profesional], maka itulah yang dia perlu lakukan, pada pendapat saya. Itu adalah kariernya dan kehidupannya.

“Berpeluang berdepan Lee Zi Jia beberapa kali, saya yakin tidak kira apa, dia akan terus lakukan apa sahaja untuk mendapatkan keputusan terbaik dan terus berusaha untuk mebanggakan Malaysia dan semua orang yang menyokongnya.

“Hanya dia sendiri yang tahu apa yang terbaik buatnya sekarang dan saya amat berharap dapat berdepan dengan lawan yang baik seperti Lee Zi Jia di atas gelanggang pada masa hadapan.

“Ia bukanlah masalah saya, tetapi sekadar mahu kongsikan pendapat.”

Tidak ketinggalan untuk menyuarakan pendapat adalah pemain perseorangan Denmark, Hans-Kristian Vittinghus yang menulis panjang lebar menentang sekeras-kerasnya hukuman BAM terhadap Lee Zi Jia.

“Satu lagi detik yang tak masuk akal berlaku dalam sukan kita pada hari ini – dan malangnya bukan dengan cara yang baik,” tulis pemain veteren berusia 36 tahun itu di dalam akaun Facebook peribadinya.

“BAM telah memutuskan untuk menggantung pemain nombor tujuh dunia yang juga juara All England, Lee Zi Jia serta pemain perseorang wanita Goh Jin Wei dari sebarang kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

“Jenayah mereka? Mereka mahu mengikut haluan sendiri. Pilih jurulatih sendiri, tentukan bentuk latihan sendiri, menyusun jadual pertandingan sendiri, cari penaja sendiri dan sebagainya.

“Asasnya mereka mahu teruskan kehidupan mereka bermain badminton secara profesional.

“Jadi apa jenayah yang mereka lakukan? Mereka bukannya buat apa-apa yang memburukkan nama sukan ini mahupun negara mereka.

“Mereka adalah rakyat Malaysia, mereka adalah pemain badminton yang cemerlang, mereka mempunyai karakter luar biasa dan mereka hanya mahu bermain badminton.

“Tetapi untuk dua tahun, mereka tidak mampu lakukan apa-apa, kerana peraturan dalam sukan ini membenarkan keputusan tidak berperikemanusiaan ini ditentukan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada hari ini.

“Peraturan BWF menyatakan bahawa semua penyertaan hendaklah melalui badan induk badminton negara anda. Jika badan kebangsaan anda enggan menyenaraikan anda, pada dasarnya anda mempunyai tiga pilihan.

“Pertama, terima keputusan itu, mengalah dengan minat anda dan cari kerja baharu lain.

“Kedua, berpindah ke negara lain, tinggal di sana selama 12 bulan dan kemudian mula bertanding. Ini hanyalah kemungkinan jika negara baharu itu terima nama anda untuk dimasukkan ke pertandingan, yang memberi maksud anda perlu bermain di bawah bendera negara baharu itu.

“Ketiga, bawa perkara ini ke mahkamah.

“Apa cara sekalipun, pemain sudah pun menjadi mangsa, paling minimum pun 12 bulan daripada kariernya sudah dibazirkan dan cukup gila untuk anda terpaksa berhijrah dari negara sendiri semata-mata untuk menghidupkan impian anda, hanya disebabkan badan kebangsaan menggunakan sepenuhnya kuasa mereka untuk dengan cara tidak adil.

“Saya tahu BAM telah menjaga pemain sejak mereka kecil. Bayar [elaun] mereka, latih mereka dan tanggung semua perbelanjaan mereka. Tapi bukankah membantu pemain muda dan terus bantu perkembangan mereka juga salah satu tugas sebuah badan kebangsaan?

“Jadi kenapa cara ‘membantu’ itu dibuat dengan cara menyekat mereka sedangkan mereka masih boleh bermain? Itu gila! Jika ianya berkenaan isu kewangan, selesaikan. Jangan tarik ‘nyawa’ pemain.

“Kita ada beberapa pemain berkelas dunia dari Korea yang berada pada situasi sama baru-baru ini, yang berjaya memenangi kes di mahkamah dan sekarang bermain di bawah bendera negara yang betul, tetapi bayangkan berapa lama mereka hilang masa bermain samata-mata untuk memperjuangkan hak mereka.

“Beritahu saya sekali lagi, adakah ini adil? Dan siapa dapat manfaat dari perkara ini? Semua orang rugi dalam keadaan sekarang. Keputusan yang dibuat ini merupakan malapetaka buat sukan badminton.

“Untuk pemain-pemain ini secara peribadi, ia jelas satu tamparan dahsyat buat mereka. Tetapi untuk sukan ini secara global atau di Malaysia, ia adalah kerugian besar.

“Lee Zi Jia merupakan salah seorang atlet yang berpotensi besar. Dia sangat merendah diri, dia bersaing untuk kejuaraan terbaik di dunia dan dia merupakan salah satu pasaran terbesar dalam sukan ini.

“Pastinya kami akan merindui sepanjang ketiadaannya nanti, seperti mana Goh Jin Wei.

Tidak kiralah sejauh mana baik atau buruk pun seseorang pemain itu, kenapa persatuan yang memutuskan siapa yang boleh menyertai kejohanan terbuka? Jadi ianya bukanlah ‘terbuka’ sangat kan? Saya benar-benar berharap BWF segera menyedari perkara ini perlu diubah pada masa hadapan.

“Persatuan kebangsaan tidak sepatutnya mempunyai kuasa sebesar ini. Saya tahu banyak persatuan yang tidak menyalahgunakan kuasa mereka untuk menyekat pemain sendiri dari bertanding, tetapi ia tidak sepatutnya dibiarkan.

“Pemain-pemain ini berhak sepenuhnya untuk bermain badminton. Tidak ada satu pun hujah yang boleh menentangnya. Ia membuatkan saya begitu marah dan saya akan pastinya pemain-pemain ini tahu bahawa kita semua bersama menyokongnya.

“Saya berharap ada seseorang yang mempunyai pengetahuan, kuasa dan mungkin wang untuk datang dan bantu pemain-pemain sukan ini untuk bersama-sama bersatu membuat pendirian menentang kegilaan seperti ini.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN