Jurulatih interim Real Madrid yang baru dilantik, Santiago Solari berkata pemain-pemain skuad Los Blancos perlu mempamerkan karakter seperti pahlawan di dalam perlawanan pertama kendalian beliau.
Sebelum itu Julen Lopetegui telah dipecat selepas Real Madrid tewas 5-1 kepada Barcelona pada Ahad lepas, sekaligus meletakkan kelab gergasi Sepanyol itu di kedudukan ke-9 La Liga.
Peranan beliau kemudiannya diambil alih oleh Solari yang sebelum itu adalah jurulatih kepada Real Madrid B. Dalam sidang media pertamanya, jurulatih dari Argentina berusia 42 tahun itu berkata:
“Saya dapat melihat pemain-pemain sedikit terluka, tetapi mereka mahu kembali ke prestasi asal yang sepatutnya.
“Ini adalah sebuah pasukan juara dan pahlawan di mana pemain-pemain memberikan segala-galanya untuk kelab.
“Ada masanya akan tiba saat sukar. Ketika itulah kita mahu melihat karakter yang dimiliki pemain-pemain ini,” ujar bekas pemain sayap yang turut penah menyarung jersi Los Blancos itu.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apakah nasib Solari sendiri pada dua minggu akan datang. Peraturan bola sepak di Sepanyol hanya membenarkan jawatan pengurus interim hanya boleh digunakan selama dua minggu sebelum diisi secara tetap selepas itu.
Tempoh itu membenarkan Solari mengendalikan empat perlawanan, dan ketika ditanya wartawan sama ada beliau mengintai unruk menjawat jawatan tersebut secara kekl, beliau menjawab:
“Saya mahu menjadi positif dalam apa sahaja yang saya lakukan.”
“ni adalah peluang yang sangat baik bersama sebuah kelab yang hebat. Saya tidak berkata begitu hanya pada hari ini selepas dilantik sebagai pengendali skuad utama. Saya sudah bersama kelab ini sejak beberapa lama dengan peranan yang berbeza.”