Soccerex: Realiti Kewangan Dan Nilai Komersil Bola Sepak Dunia Serta Impaknya Di Liga Malaysia

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Soccerex, Manchester City merupakan kelab yang mempunyai kekuatan kewangan terbesar di dunia.

Siapakah Soccerex? Apakah indikasi yang diguna pakai dalam kajian tersebut? Apakah iktibar yang boleh kita ambil daripada hasil kajian ini?

Artikel ini turut akan menjelaskan bagaimana model pengurusan kelab-kelab bola sepak utama dunia beroperasi, sekaligus meneruskan kelangsungan kejayaan masing-masing di dalam dan di luar padang.

Pengenalan

Soccerex adalah sebuah organisasi yang berpengkalan di England, dan berfungsi menghubungkaitkan industri bola sepak dengan nilai komersial sukan berkenaan secara global.

Laporan terbaru oleh organisasi berkenaan menunjukkan beberapa hasil kajian yang tidak difikirkan langsung oleh kita selama ini.

Laporan berkenaan digelar sebagai Football Finance Index (FFI), bertujuan mengkaji 100 kelab bola sepak utama di dunia, sebelum setiap kelab dilabelkan dengan kedudukan berdasarkan kekuatan kewangan masing-masing.

(Photo by Lynne Cameron/Getty Images for Soccerex)

Manchester City berada di kedudukan pertama dalam ranking global Football Finance Index (FFI) dengan mata terkumpul 4.883 setelah 5 perkara utama yang digunakan sebagai indikasi diambil kira sebagai kaedah kajian.

5 perkara utama tersebut ialah pemilikan aset (pemain) dimikili oleh setiap kelab, aset kekal, jumlah simpanan di dalam bank, potensi pelaburan oleh para pelabur dan juga nilai keberhutangan oleh setiap kelab dalam tahun semasa.

Kedudukan kelab

Paris Saint-Germain (PSG) yang memecahkan rekod perpindahan dunia pada jendela perpindahan musim panas yang lalu dengan pembelian Neymar daripada Barcelona, hanya berada di kedudukan ke-3 (4.128 mata); berada di belakang Arsenal yang mengumpul 4.559 mata keseluruhan.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti dijangka mendominasi senarai 10 kedudukan teratas hasil kajian tersebut, selepas menjana keuntungan yang tinggi daripada hak penyiaran sejak beberapa musim kebelakangan ini.

(Photo by Ian MacNicol/Getty Images)

Tottenham Hotspur berada di kedudukan ke-5 (2.591 mata), untuk berada di atas Manchester United yang mendominasi carta oleh Deloitte sebelum ini seperti yang dilaporkan oleh Business Insider, apabila hanya mengumpul 2.314 mata melalui kajian Soccerex.

Manakala sebuah lagi kelab dari London, dan juga juara EPL musim lalu, Chelsea berada di kedudukan ke-9 dengan kutipan 2.093 mata secara keseluruhan.

Bola sepak di China yang semakin berkembang secara global turut memberikan impak yang signifikan dalam laporan FFP oleh Soccerex apabila jumlah pelaburan yang besar dalam industri bola sepak di negara itu menjadikan Guangzhou Evergrande sebagai kelab ke-4 terkaya di dunia dengan 3.423 mata terkumpul.

(Photo by Xavier Laine/Getty Images)

Juara UEFA Champions League (UCL) sebanyak 12 kali, Real Madrid berada di kedudukan ke-6 (2.579 mata), manakala Barcelona hanya berada di kedudukan ke-13 (1.626 mata).

Kelab-kelab utama dunia yang lain seperti juara 33 kali saingan Serie A Itali, Juventus berada di kedudukan ke-8 dengan 2.260 kutipan mata, manakala Bayern Munich di tangga ke-9 dengan 2.086 mata.

Juara 5 kali Piala Eropah yang baharu sahaja melengkapkan perpindahan pemain pertahanan termahal di dunia, Virgil Van Dijk, Liverpool sekadar berada di tangga ke-16 dengan jumlah mata 1.370.

Revolusi bola sepak moden melalui pemilikan

Kajian oleh Soccerex ini menunjukkan satu indikasi jelas, bahawasanya landskap bola sepak dunia telah berubah secara drastik sejak dua dekad terakhir.

Perubahan tersebut dipercayai disumbangkan oleh minat daripada pelabur di kalangan jutawan merentasi benua Eropah, Asia Pasifik, Timur Tengah, Amerika, dan juga peningkatan keuntungan yang dijana oleh hak penyiaran oleh setiap kelab.

(Photo by Peter Byrne/PA Images via Getty Images)

Kejayaan Manchester City untuk berada di tangga pertama di dalam kajian ini sudah berada di dalam jangkaan, mengambil kira pelaburan asing di kelab berkenaan yang berjaya mengubah status dan potensi kelab berkenaan.

Sehingga kini, Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan melalui syarikat yang berpengkalan di Abu Dhabi telah melaburkan €650 juta hanya untuk pemain dan infrastruktur. Manchester City turut menikmati antara nilai bayaran tertinggi untuk hak penyiaran.

Pada musim lalu, Manchester City adalah penerima ke-3 tertinggi daripada hasil hak penyiaran dengan bayaran bernilai £34,948,962. Chelsea dan Tottenham Hotspur menjadi dua kelab yang menerima bayaran tertinggi masing-masing dengan nilai £38,832,180  dan £36,890,571.

Bagaimana Arsenal berada di tangga ke-2?

Kedudukan Arsenal di tangga ke-2 di belakang Manchester City dan berada di atas pasukan seperti Manchester United dan PSG menimbulkan tanda tanya.

Apatah lagi Arsenal sering dikritik kerana tidak berbelanja di pasaran pemain sejak beberapa musim yang lalu.

Soccerex menjelaskan dalam laporan tersebut bahawa kedudukan Arsenal adalah refleksi kepada model perbelanjaan mereka sendiri di pasaran pemain.

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Berdasarkan 5 perkara utama yang dipilih sebagai indikasi dalam kajian oleh Soccerex, Arsenal berada di kedudukan 4 teratas dalam 4 daripada 5 indikasi tersebut; yang membawa maksud Arsenal adalah sebuah kelab bola sepak yang secara relatifnya memiliki kurang hutang.

Berdasarkan kajian tersebut juga, Soccerex menyatakan bahawa Arsenal boleh sahaja berbelanja pada bila-bila masa sahaja sekiranya pengurusan kelab London tersebut ingin berbuat demikian, sekali gus mengubah strategi perniagaan kelab berkenaan.

Pertumbuhan bola sepak di China, U.S & Amerika Selatan

Kajian oleh Soccerex juga menunjukkan pemilik kelab di kalangan 100 kelab utama tersebut mempunyai kekayaan bernilai melebihi €475 billion.

Pemilik sembilan kelab terbesar di China mempunyai kekayaan bernilai €75.1 billion dan potensi Liga Super China dinayatakan dengan jelas dengan kehadiran sembilan kelab tersebut sebagai antara 100 kelab utama di dunia.

(Photo by VCG/VCG via Getty Images)

Ini menyamai pencapaian oleh kelab-kelab bola sepak utama dunia daripada Sepanyol, Perancis, Jerman dan juga Itali.

Amerika Syarikat ialah negara kedua dengan wakil teramai dalam senarai Soccerex, dengan 5 kelab bola sepak daripada negara berkenaan berada di dalam senarai 30 kelab teratas.

LA Galaxy mengetuai senarai kelab daripada Amerika Syarikat berada di tangga ke-14 senarai Soccerex.

A(Photo by Rich von Biberstein/Icon Sportswire via Getty Images)

Perkara sebaliknya yang berlaku di Amerika Selatan. Walaupun bola sepak daripada benua berkenaan kaya dengan tradisi dan sejarah, kestabilan ekonomi telah merencatkan kekuatan kewangan kelab bola sepak dari benua berkenaan.

Brazil bagaimanapun mempunyai 12 kelab di antara kedudukan ke-50 sehingga ke-100 berdasarkan kajian oleh Soccerex.

Abramovich dan Chelsea di tangga ke-9?

Walaupun kelab EPL mendominasi carta kajian oleh Soccerex, Chelsea yang didukung oleh kekayaan jutawan minyak, Roman Abramovich berada di tangga ke-9. Bagaimana ini boleh terjadi?

Kedudukan kelab Inggeris yang berpengkalan di London ini dipengaruhi oleh pelaburan oleh pemilik kelab berkenaan di dalam bentuk pinjaman yang tidak terikat dengan nilai faedah dan skala masa, menjadikan nilai hutang mereka adalah yang terbesar di kalangan 100 kelab utama.

(Photo by Catherine Ivill – AMA/Getty Images)

Untuk itu, Chelsea telah melakukan beberapa penambahbaikan sejak beberapa musim kebelakangan ini.

Namun jika mereka menukarkan nilai hutang kepada sebagai sejenis bentuk penajaan seperti yang diamalkan oleh beberapa buah kelab utama dunia yang lain, Chelsea boleh berada di kedudukan yang lebih baik di dalam senarai Soccerex.

Kemeruduman kuasa kewangan kelab Sepanyol?

Kelab daripada Sepanyol sering mendominasi laporan-laporan kewangan kelab bola sepak dari seluruh dunia. Tetapi bagaimana Real Madrid boleh berada di kedudukan ke-6, dan Barcelona menghuni kedudukan ke-13?

Kedudukan Real Madrid dan Barcelona dipengaruhi oleh struktur kelab berkenaan yang membenarkan pemilikan oleh ahli, sekaligus mengurangkan pelaburan oleh pemilik kelab.

Guard of honour
R(Photo credit should read KARIM SAHIB/AFP/Getty Images)

Bagaimanapun menurut kajian daripada Soccerex, jika Real Madrid menggunakan kekuatan mereka di bursa saham, kekuatan kewangan mereka adalah jauh lebih baik berbanding dengan keupayaan kewangan yang dimiliki oleh pemilik-pemilik kelab yang lain.

Laporan kajian tersebut turut mendedahkan kesan kepada pemilikan oleh pemilik asing di dalam La Liga, seperti Atletico Madrid yang berada di kedudukan ke-15 senarai Soccerex, selepas menerima pelaburan daripada Wanda Group.

(Photo by Manuel Queimadelos Alonso/Getty Images)

Manakala Valencia yang dimiliki oleh usahawan Singapura, Peter Lim turut tersenarai sebagai 30 kelab terkaya dunia.

Adakah bola sepak Sepanyol gagal? Tidak. Tetapi mereka memilih model pengurusan yang mereka fikirkan sesuai untuk kelangsungan jangka masa panjang kelab bola sepak mereka.

Rumusan: Apa Liga Malaysia boleh pelajari

Tujuan utama kajian oleh Soccerex ini ialah untuk memberi evaluasi kepada realiti impak kewangan di dalam bola sepak, sekaligus mencerminkan realiti bola sepak moden pada hari ini.

Ia turut menekankan betapa pentingnya pengurusan kewangan di dalam pengurusan bola sepak sebagai sebuah industri dengan faktor-faktor seperti nilai aset, jumlah hutang, dan pelaburan oleh pemegang taruh yang akan menentukan hala tuju ekonomi dan prestasi pasukan di atas padang.

NSTP/ASYRAF HAMZAH

Bola sepak Malaysia juga tidak ingin ketinggalan dalam revolusi bola sepak moden di seluruh dunia yang dilihat secara lebih komersil, dan menjadi antara penggerak industri yang mampu memberikan pulangan kepada negara secara amnya.

Semua ini tidak akan mampu dicapai tanpa model pengurusan bola sepak yang profesional.

Usaha-usaha telah dimulakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, DYAM Tunku Ismail dengan langkah-langkah dan perancangan yang diambil bagi memastikan bola sepak di negara ini kekal kompetitif sekurang-kurangnya di kalangan rantau Asia Tenggara buat masa sekarang.

Gambar kredit : The Malaysian Insight

Sebagai contoh, pengenalan 5 pemain asing termasuk kuota daripada kalangan negara ASEAN dan pengenalan Ampersand Sports Sdn Bhd sebagai agensi eksklusif bagi hak penajaan saingan Liga Malaysia bermula musim depan adalah bertujuan untuk meningkatkan nilai komersil Liga Malaysia, sekaligus meningkatkan nilai pelaburan termasuk hak penyiaran yang telah menjadi tunjang kekuatan kewangan kelab-kelab bola sepak utama dunia.

Hakikatnya kita masih memerlukan kepakaran DYAM Tunku Ismail dan visi baginda untuk memastikan bola sepak negara terus ke hadapan.

2017 telah berlalu. Mulai 2018, kita boleh anggap ia sebagai tempoh pelaksanaan. Sudah tentu kita ingin melihat hasilnya di kemudian hari. Berhentilah bertelagah. Mulakan melangkah. Ayuh kita sama-sama bekerja keras demi bola sepak negara.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN