‘So Close Yet So Far’ – Mengenang Kekecewaan Skuad Newcastle United 1995/96

Newcastle United

Newcastle United memulakan kempen Premier League 1995/96 dengan berbelanja besar pada awal musim, membawa masuk empat pemain yang bukan kaleng-kaleng hasil suntikan dana pengerusi mereka Sir John Hall.

Mereka merekrut penjaga gol Shaka Hislop dari Reading, pemain pertahanan Warren Barton dari Wimbeldon, penyerang sensasi Les Ferdinand dari Queens Park Rangers dan pemain sayap kiri yang lincah iaitu David Ginola dari Paris Saint-Germain (PSG).

Pengurus muda yang juga bekas pemain England, Kevin Keegan bertekad tinggi memperbaiki kedudukan mereka dalam liga berbanding musim sebelumnya iaitu di tangga keenam. Mereka memulakan liga dengan sangat bergaya, mencatat kemenangan demi kemenangan dan terus memimpin liga dengan prestasi konsisten.

Bermula Ogos sehingga perayaan Krismas, mereka hanya tewas dua kali di tangan Southampton dan Chelsea, kedua-duanya di gelanggang lawan. Magpies berjarak 10 mata dengan pencabar terkuat iaitu Manchester United ketika perayaan Krismas disambut.

Perlawanan pada 27 Disember 1995 menemukan dua pasukan ini di mana pasukan bimbingan Alex Ferguson menewaskan Newcastle dengan jaringan 2-0 di Old Trafford hasil jaringan Andy Cole (pemain yang dijual Newcastle ke Manchester United pada Januari 1995) dan juga Roy Keane.

Setelah kekalahan tersebut Magpies kembali bangkit dan meneruskan rentak kemenangan sehingga berjaya menjarakkan kedudukan di persada liga dengan 12 mata pada 20 Januari 1996, meletakkan mereka di posisi terbaik untuk memenangi liga dengan hanya berbaki 15 perlawanan untuk dimainkan.

Pasukan dengan corak permainan menarik untuk ditonton

Newcastle United pada musim 1995/96 dianggap oleh ramai pemerhati bola sepak sebagai sebuah pasukan yang sangat menghiburkan corak permainan mereka. Kevin Keegan berjaya mengadunkan pemain-pemain England bersama sedikit pemain import berkualiti milik mereka dengan corak permainan persis total football atau free flowing football.

Mereka menjaringkan gol sesuka hati mereka dan melepaskan gol juga dengan bersahaja. Hampir semua pemain skuad ini ada kebolehan dan kemampuan menjaringkan gol baik barisan pertahanan, pemain tengah dan sudah tentu pemain serangan mereka yang sangat berbahaya.

Corak permainan menyerang yang diterapkan Keegan sungguh efektik untuk mereka menghasilkan jaringan-jaringan yang membantu mereka memperoleh kemenangan.

Mereka seolah-olah punya 1001 cara untuk menyerang dan sekaligus menjaringkan gol – bermain crossing, menembusi bahagian tengah pertahanan lawan dengan combination play ataupun kadangkala dengan larian third runner, mengejutkan pihak lawan dengan counter attack yang mematikan, pemain sayap cut inside sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol. Sebut saja bagaimana caranya, pasti mereka mampu dan pernah lakukan.

Keistimewaan beberapa pemain yang saling melengkapkan

Bermain formasi 4-4-2 (kerap menjadi 4-4-1-1), Les Ferdinand menerajui serangan sebagai pemain nombor 9. Satu hal menarik mengenai penyerang ini. Pada waktu itu, beliau tidak bermain seperti tipikal penyerang nombor 9 klasik walau kebanyakan gol yang dijaringkan berpunca daripada hantaran lintang. Ketajaman beliau melakukan tandukan tidak dapat disangkal lagi sehingga beliau mendapat julukan ‘si leher jinjang’.

Tetapi ‘Sir Les’ tidak hanya menunggu bola di dalam kotak penalti atau berlegar di atas sahaja seperti seorang targetman. Beliau kerap kali juga turun ke ruang antara garisan pertahanan dengan garisan midfield untuk mengutip bola, melakukan drive in sebelum melakukan rembatan atau melakukan link up play membuka ruang kepada pemain yang berada di sekitar beliau memecahkan pertahanan lawan. Gaya permainan beliau di Newcastle waktu itu mirip Robert Lewandoski di Bayern Munich pada masa kini.

Pemain yang kerap bergandingan dengan Les Ferdinand ialah Peter Beardsley. Pemain kecil lincah ini selalunya bertindak sebagai second striker dalam formasi 4-4-1-1. Beliaulah yang menghubungkan antara barisan tengah dengan Ferdinand.

Kelajuan dan kelincahan beliau sering memberikan masalah kepada pertahanan lawan dan di belakang Beardsley terdapat sokongan barisan pemain tengah yang terdiri daripada Rob Lee, Ruel Fox (hanya seketika), Lee Clark dan David Batty. Rob Lee mungkin pemain tengah menyerang paling agresif pada musim itu.

Beliau seringkali menyerang zon 14 pihak lawan serta sangat gemar melakukan rembatan atau tendangan cip bagi menewaskan penjaga gol lawan. Sebelum Frank Lampard, beliau mungkin salah seorang pemain England terbaik yang bermain di posisi itu.

Tidak kalah menonjol di barisan midfield adalah pemain sayap kanan dan kiri Magpies iaitu Keith Gillespie dan pemain Perancis bermuka jambu dengan rambut belah tengah ikal yang boleh dikatakan ketenarannya menyaingi pesona David Beckham pada waktu itu – David Ginola.

Ginola seorang pemain sayap yang ‘gila’ dan serba boleh. Chemistry-nya bersama Les Ferdinand sangat kuat. Ia ibarat kerjasama Henry-Pires di Arsenal. Ginola pemain sayap kiri yang boleh menggunakan kedua-dua belah kaki. Beliau tidak kekok kadangkala berada di posisi Gillespie melakukan hantaran lintang dengan kaki kanan. Paling gila hantarannya disudahkan oleh Ferdinand yang menjaringkan 29 gol Premier League musim itu. Sumbangan Gillespie juga tidak boleh dinafikan, beliau merupakan penyumbang bantuan jaringan dan juga boleh menjaringkan gol.

Barisan pertahanan yang kerap dimainkan Keegan di Premier League adalah Warren Barton di pertahanan kanan, John Beresford di pertahanan kiri (beliau dan Barton memiliki bentuk badan dan gaya rambut hampir serupa), Steve Howey, Steve Watson, Philippe Albert serta Darren Peacock.

Peacock yang beraksi sebagai pertahanan tengah mungkin antara pemain Premier League (setelah penjenamaan semula tahun 1992) terawal menggayakan rambut ala ponytail bersama David Seaman sebelum Emmanuel Petit hadir di Premier League mewakili Arsenal pada tahun 1997.

Nama-nama pemain pertahanan ini hampir kesemuanya pernah menjaringkan gol, jika tidak pada perlawanan Premier League; pada perlawanan Piala FA dan juga League Cup. Itu sudah cukup membuktikan falsafah bola sepak all out attack Keegan.

Penambahbaikan pasukan tetapi konsistensi semakin rancu

Keegan membawa masuk penyerang Faustino Asprilla dari Parma dan pemain tengah David Batty dari Blackburn Rovers pada jendela perpindahan musim panas Februari 1996 meskipun kedudukan mereka ketika itu amat selesa di persada liga.

Asprilla menginspirasi kebangkitan Newcastle menentang Middlesbrough di tempat lawan dengan kejayaan 2-1 namun selepas perlawanan itu mereka tewas lima daripada lapan perlawanan termasuk kepada Manchester United di St. James Park (yang mengakhiri rekod tanpa kalah mereka di gelanggang sendiri dalam kempen musim itu). Juga kekalahan dramatik 4-3 kepada Liverpool di Anfield dengan jaringan minit akhir Stan Collymore membuatkan Keegan tertunduk lesu memapah papan iklan di tepi padang.

Meskipun Magpies menang 3 perlawanan selepas itu namun Manchester United sudah berjaya memintas mereka. Dua keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir liga menentang Nottingham Forest dan Tottenham menempatkan skuad berbakat kendalian Kevin Keegan ini terpaksa berpuas hati di tempat kedua di belakang Manchester dengan perbezaan empat mata.

Perang Psikologi Yang Dimainkan Alex Ferguson

Insiden yang paling diingati dan diperkatakan oleh peminat Premier League pada musim itu sudah tentu temu ramah berapi-api Kevin Keegan bersama Sky Sports. Beliau berang dengan kenyataan Alex Ferguson sebelum itu yang mungkin sengaja bermain perang psikologi untuk memberikan tekanan kepada dirinya.

Sebelum Newcastle menentang Leeds, Fergie menuduh pemain-pemain Leeds bermain bermati-matian ketika menentang skuad kendaliannya tetapi tidak bermain seperti itu ketika menentang pasukan lain termasuklah Newcastle.

Keegan jelas termakan dengan ‘usikan’ Fergie, lantas beliau membalas komen provokasi Fergie itu ketika wawancara selepas Newcastle menang 1-0 ke atas Leeds. Beliau berapi-api mengatakan yang Newcastle masih berada dalam perlumbaan kejuaraan liga dan senang jika skuad-nya dapat menewaskan Manchester United (meskipun Newcastle telah tewas kepada Manchester United dua kali).

Merudumnya prestasi masih menjadi misteri

Banyak perdebatan berlaku tentang bagaimana Newcastle United gagal menjuarai Premier League musim 95/96 sedangkan memiliki jurang mata yang sangat besar pada suatu ketika. Antara teori-teori yang muncul antaranya adalah impak besar kepulangan Eric Cantona ke Manchester United setelah menjalani penggantungan sembilan bulan akibat melayangkan tendangan kung-fu kepada penyokong Crystal Palace.

Selain itu, terdapat juga pundit yang mengatakan bahawa filosofi terlalu menyerang Keegan memakan pasukan Newcastle. Rob Lee sendiri mengatakan bahawa para pemain pasukan itu seperti hilang keyakinan diri sehingga mereka semua gagal pada akhirnya. Sehingga kini, tiada siapa tahu sebab pasti kegagalan tersebut.

Kebanyakan pemain daripada skuad tersebut sehingga kini masih tidak percaya dan masih dihantui perasaan menyesal dengan apa yang terjadi kepada mereka. David Ginola sendiri dilihat agak berat untuk membahas topik kegagalan Newcastle United muncul juara pada musim 95/96 ketika diundang sebagai pundit di Sky Sports pada tahun 2018. Kelihatan sekali mata beliau seperti berkaca-kaca ketika membahas perkara tersebut.

Penutup

Jujur, saya bukanlah seorang penyokong Newcastle United. Tetapi sekitar tahun itu saya mula berjinak-jinak bermain bola sepak dan menonton perlawanan bola sepak. Menonton skuad Newcastle United musim 1995/96 menjadi antara memori indah saya ketika kanak-kanak dalam perkara bola sepak.

Kadangkala saya berimaginasi menjadi seperti Ginola ketika bermain di posisi sayap kiri bersama rakan-rakan di padang sekolah. Kadangkala saya berlagak seperti Les Ferdinand ketika cuba-cuba menanduk bola hantaran lintang sepupu saya. Ramai juga rakan-rakan saya yang lebih memilih menyokong Manchester United kerana hype-nya Beckham dan ikoniknya kolar jersi naik Cantona.

Ramai juga yang mencintai skuad bintang Liverpool ketika itu yang dibarisi Robbie Fowler, Stan Collymore, Ian Rush, David James, John Barnes, Jamie Redknapp dan Steve Mcmanaman. Tetapi saya melihat Newcastle United musim itu bermain bola sepak dengan sangat seronok. Mereka seperti bermain dengan soul.

https://twitter.com/BambaBall/status/1383926896337981442?s=20

Jauh di sudut hati, saya berharap agar suatu hari nanti Newcastle United dapat memenangi Liga Perdana Inggeris, mengubat luka mereka pada musim 1995/96.

Addim Alias merupakan seorang penulis bebas yang dulunya gemar menulis puisi dan cerita fiksi tetapi manuskripnya tidak pernah diterima syarikat penerbitan. Kini beliau lebih gemar menulis tentang bolasepak secara suka-suka untuk santapan pembaca Semuanya BOLA.

Artikel ini merupakan pendapat dan pandangan peribadi penulis yang tidak mencerminkan pendirian Semuanya BOLA.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Newcastle United:

Newcastle United Ambil Buruh Binaan Sebagai Pemain Baharu

Tunang Kashoggi Ingatkan Newcastle United, EPL Tentang Nilai Moral

Mengimbau Kebangkitan Hebat Newcastle United Dalam Kempen Liga Juara-Juara Eropah 2002/03

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN