Ia adalah pengakhiran yang amat unik buat Wesley Sneijder bersama Belanda.
Pemain tengah berusia 34 tahun itu duduk di sofa bersama anggota keluarganya di sebuah binaan menyerupai ruang tamu, di tengah padang Johan Cruyff Arena selepas perlawanan persahabatan menentang Peru.
Bersama puluhan ribu penyokong Belanda yang lain, Sneijder mengimbau kembali perjalanan karier antarabangsa melalui rangkuman perlawanan yang disediakan.
Legasi Ajax keturunan Cruyff & Bergkamp
Bakat Sneider dilahirkan dari akademi bola sepak yang sama pernah menghasilkan legenda bola sepak Belanda seperti Johan Cruyff dan Dennis Bergkamp.
Tidak hairanlah cetak biru bola sepak Ajax sangat menyerlah dalam permainan yang ditampilkan beliau.
Baik dari segi teknik, dan falsafah permainan, sehinggalah corak permainan elegan yang terkenal di Ajax, semuanya ibarat mengalir di dalam diri Sneijder.
Nama Cruyff dan Bergkamp sengaja ditampilkan seperti di atas, kerana kedua-duanya melambangkan persona yang ditampilkan oleh kelab Belanda itu ke seluruh dunia.
Begitu juga dengan Wesley Sneijder. Walaupun perjalanan kariernya tidak sehebat apa yang dilalui oleh Cruyff dan Bergkamp, Sneijder adalah legasi Ajax seperti Cruyff dan Bergkamp.
Karier awal
Seperti apa yang dilalui oleh abang beliau Jeffrey, Wesley turut menyerlah dalam sesi uji bakat untuk menyertai akademi Ajax.
Selain Jeffrey dan Wesley, keluarga Sneijder turut diwakili oleh seorang lagi saudara kandung, Rodney yang kini beraksi bersama DHSC setelah pernah bersama Ajax, FC Utrecht, dan Dundee United.
Namun demikian, Wesley adalah yang paling berjaya di antara ketiga-tiganya.
Merupakan antara bakat paling menyerlah di bawah kendalian jurulatih, Danny Blind, penampilan sulung Sneijder untuk Ajax hanya tiba pada 2 Februari 2003 dalam kemenangan 6-0 ke atas Willem II.
Sneijder pantas menyesuaikan diri bersama pasukan, dan berada di dalam kesebelasan utama Ajax menentang AC Milan pada April tahun yang sama di perlawanan suku akhir UEFA Champions League.
Prestasi cemerlang Sneijder menjadikan beliau nadi penting buat Ajax. 9 gol di Eredivisie pada musim 2003/04 menjadikan beliau pemain muda terbaik di Belanda dan diiktiraf dengan Piala Johan Cruyff.
Musim berikutnya, prestasi Sneijder bersama Ajax dan pasukan kebangsaan Belanda terus mencuri tumpuan, sebelum beliau dilamar oleh Real Madrid dengan nilai €27 juta pada musim panas 2007.
Perpindahan tersebut menjadikan Sneijder sebagai pemain kedua termahal di dalam sejarah bola sepak Belanda.
Mengejar mimpi di La Liga
Sneijder tiba di Santiago Bernabeu dengan mengambil alih jersi No.23 yang sebelum itu adalah milik David Beckham.
Bersama-sama rakan senegara seperti Arjen Robben, Ruud Van Nistelrooy dan Royston Drenthe, Sneijder pantas membuktikan kualiti yang dimiliki oleh beliau untuk gergasi Sepanyol itu.
Menjaringkan 9 gol di musim pertama di La Liga, Sneijder membantu Real Madrid mempertahankan kejuaraan liga pada musim pertamanya di Sepanyol.
Ia adalah permulaan yang diimpikan Sneijder, tetapi bukan pengakhiran yang diharapkan bersama Real Madrid.
Musim berikutnya, Real Madrid gagal bersaing dengan Barcelona yang membolot kejuaraan ‘treble’ di bawah kendalian Pep Guardiola.
Sebagai respon, Madrid merombak pasukan dengan membawa Kaka dan juga Karem Benzema untuk persediaan musim 2009/10.
Namun beberapa pemain turut ditunjukkan pintu keluar, dan kebanyakkan mereka adalah pemain yang berasal dari Belanda.
Arjen Robben memilih untuk menyertai Bayern Munich, manakala pasangan penyerang, Klaas Jan Huntelaar dan Ruud Van Nistelrooy, masing-masing membawa diri ke AC Milan dan Hamburg.
Jose Mourinho dan Inter Milan
Sepertimana rakan-rakan beliau yang lain, Sneijder turut menerima tempias rombakan yang dilakukan oleh Real Madrid, walaupun hanya sempat beraksi bersama Los Blancos selama dua musim.
Sneijder kemudiannya menyertai Inter Milan yang baru sahaja melantik Jose Mourinho sebagai pengurus pada musim sebelumnya.
Pada musim pertama di San Siro, Mourinho menggunakan Sneijder sebagai senjata utama dalam melancarkan serangan balas, walaupun hakikatnya Sneijder adalah pemain dengan profail No.10.
Pemain No.10 biasanya mahu bebas dalam pergerakan untuk melakukan serangan, sambil mengekspresikan kreativiti mereka.
Tetapi Mourinho bijak menggunakan kebolehan yang dimiliki oleh Sneijder untuk Inter Milan meraih ‘treble’ pada musim 2009/10.
“Pada saya, pemain dengan profail No.10 boleh melakukan banyak perkara, ketika memiliki bola, ataupun tanpa penguasaan bola
“Kerana itulah pemain No.10 di dalam pasukan saya sentiasa istimewa.
“Saya gemar melihat No.10 menjaringkan gol. Saya juga suka melihat mereka berlari bersama bola masuk ke kotak penalti.
“Tetapi pada saya, seorang pemain No.10 ialah No.8 setengah. Ketika pasukan memiliki penguasaan bola, No.10 akan menjadi No.9 setengah.
“Siapakah No.10 paling sempurna sepanjang karier pengurusan saya? Ianya ialah Wesley Sneijder dan juga Deco.
“Itu kerana mereka mampu membantu barisan pertahanan, dan kemudian menjaringkan gol,” ujar Mourinho ketika menjelaskan peranan unik Sneijder bersama Inter Milan.
Selepas Mourinho pergi menyertai Real Madrid, prestasi Sneijder bersama Inter menjadi tidak menentu.
Kisah Sneijder dan Mourinho merupakan antara kisah simbiosis pemain-pengurus yang hebat pernah berlaku di bola sepak eropah.
Dari Turki kini di Qatar
Rafa Benitez, Claudio Ranieri, Gian Gasperini, Andrea Stramacionni dan Leonardo adalah antara pengurus yang pernah melatih Sneijder di Inter, namun hasilnya tidak sama seperti sentuhan yang Mourinho berikan.
Beberapa kecederaan turut menyelubungi karier peringkat kelab, sebelum beliau sekali lagi berhijrah, dan Sneijder memilih Turki sebagai destinasi seterusnya.
Bersama Galatasaray, Sneijder membantu pasukan tersebut menjuarai dua kejuaraan Super Lig dalam tempoh lima musim, sebelum menyertai Nice pada musim lalu.
Bagaimanapun, Sneijder hanya bersama Nice selama lima bulan dan sempat tampil dalam lapan perlawanan untuk kelab Ligue 1 itu.
Selepas itu, Sneijder menyertai Al Gharafa di Qatar, dan pada musim lalu membantu kelab Timur Tengah itu menduduki tangga ke-4 Qatar Stars League.
Karier antarabangsa
Bersama Belanda, Sneijder merekodkan 31 gol daripada 134 penampilan antarabangsa.
Sneijder turut merupakan anggota skuad Belanda yang beraksi di enam kejohanan utama antarabangsa iaitu Euro 2004, 2008, 2012 dan Piala Dunia 2006, 2010,dan 2014.
Namun pencapaian terbaik yang akan pasti dikenang oleh Sneijder dan seluruh rakyat Belanda, semestinya ialah pada kejohanan Piala Dunia 2010 apabila Belanda bergelar naib juara kejohanan edisi tersebut.
Tewas 0-1 kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir di Johannesburg, Afrika Selatan, Sneijder turut berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan empat pemain lain.
Namun demikian, Sneijder terpaksa menerima Anugerah Kasut Gangsa Piala Dunia 2010, selepas penentuan Anugerah Kasut Emas turut terpaksa mengambil kira jumlah bantuan gol dan minit perlawanan untuk menentukan pemenang tunggal.
Penutup
Mourinho pernah dikaitkan sebagai genius taktikal yang menampilkan antithesis kepada apa yang dihasilkan oleh Barcelona.
Sneijder adalah produk antithesis Mourinho itu; menjadi antara baka No.10 unik yang membenarkan dirinya dievolusi sesuai taktikal pengendali Portugal itu.
Itu menjadikan Sneijder sebagai pemain baka No.10 unik dalam acuan beliau tersendiri, dan mungkin hanya pemain istimewa seperti Sneijder yang mampu melakukannya.
Gelukkige pensionering van het internationale voetbal, Wesley Sneijder!