Duta Piala Dunia Russia 2018, bekas pemain Chelsea dan Rusia, Alexey Smertin memberitahu wartawan betapa pentingnya mendidik penyokong mereka tentang isu perkauman.
Pada ketika ini, Rusia sedang menganjurkan Piala Konfederasi 2017 dan boleh dikatakan penyokong-penyokong di Rusia menunjukkan sikap terpuji.
Sebelum ini, badan bola sepak Russia menggantung ketua Persatuan Penyokong Russia daripada memasuki stadium sepanjang temasya Piala Konfederasi.
Ianya selepas dia didapati terlibat dalam insiden kekecohan di Perancis ketika Euro 2016.
Langkah pro-aktif Rusia ini adalah satu isyarat amaran keras kepada penyokong-penyokong mereka yang seringkali dikaitkan dengan keganasan penyokong.
Smertin memuji sikap penyokong mereka ketika ini. Beliau berkata:
“Dalam penganjuran Piala Konfederasi di 4 bandar, Kazan, Moscow, Petersburg, Moscow dan Sochi, masyarakat di sana sangat mengalu-alukan tetamu.”
“Namun kami tidak akan mudah berpuas hati dengan apa yang ada. Kami akan meneruskan program kesedaran kepada penyokong-penyokong kami.”
“Piala Konfederasi adalah pemanas badan untuk penganjuran Piala Dunia. Ianya penting untuk semua pihak termasuk sukarelawan, LOC, pasukan kebangsaan kami, dan semua yang terlibat dalam meraikan perbezaan di dalam bola sepak.”
“Saya dilantik menjadi ketua untuk kempen Rusia Cintakan Bola Sepak. Ianya sangat penting untuk saya membentuk satu pasukan yang besar.”
“Presiden FIFA, Gianni Infantino suka menggunakan prinsip ‘Saya adalah pemain pasukan (team player)’. Itulah prinsip yang saya pegang sekarang ini.”
“Kami perlu mendidik penyokong tentang isu berkaitan diskriminasi, dan tingkah laku. Ia sangat penting.”
“Sebagai penyokong, anda ke stadium untuk menyokong pasukan. Bukannya untuk menentang pasukan ataupun menentang pasukan lawan. Inilah mesej yang ingin kami bawa kepada penyokong.”