Slaven Bilic akhirnya dipecat oleh West Ham dan kini bekas pengurus Everton dan Manchester United, David Moyes dilaporkan menjadi pilihan utama hierarki The Hammers.
West Ham jatuh ke tangga ke-18 pada hujung minggu lalu selepas tewas 4-1 kepada Liverpool. Kemenangan Everton ke atas Watford yang mengubah kedudukan EPL pada awal pagi tadi mengesahkan pemecatan Bilic.
Sepanjang 11 perlawanan yang sudah dilalui pada musim ini, West Ham hanya menang 2 daripada perlawanan tersebut walaupun telah menandatangani beberapa nama besar seperti Joe Hart, Pablo Zabaleta, Marko Arnautovic dan juga Javier Hernandez.
Selepas kekalahan kepada Liverpool, Bilic dipetik sebagai berkata:
“Sukar untuk saya berkata apa-apa sekarang. Saya perlu bercakap terlebih dahulu kepada pengerusi kelab. Kami akan membicarakan perihal kekalahan ini.”
“Ini bukan kekalahan pertama. Ia adalah kekalahan kedua secara berturut di halaman sendiri. Ia adalah situasi yang sukar buat saya. Saya sentiasa percaya akan kebolehan diri. Jika tidak, saya tidak berada di sini.”
Akhbar BBC di UK turut melaporkan Bilic sebagai berkata:
“Tekanan pada saya semakin meningkat selepas perlawanan demi perlawnan. Situasi saya kini sangat sukar. Kita akan lihat apakah yang dilakukan oleh pihak kelab.”
Bekas pengurus Everton, Manchester United dan Sunderland, David Moyes turut telah menyatakan minat beliau ketika ditanya oleh media akan kemungkinan menggantikan Bilic di Stadium London.
David Moyes berkata:
“Saya berminat (mengurus West Ham). Namun itu adalah jika jawatan berkenaan menjadi kosong. Buat masa ini ia tidak sedemikian. Saya tahu apa yang dilalui oleh Slavan. Dalam situasi beliau, Slavan perlukan pasukan memperolehi keputusan perlawanan yang positif.”
“Jika jawatan di West Ham kosong, maka saya berminat untuk mengisinya. Malang sekali kerana untuk saya kembali ke dalam pengurusan, pengurus lain akan dipecat. Saya tidak mahu berharap ia berlaku sedemikian.”
Bilic dilantik sebagai pengurus di West Ham pada Jun 2015. Musim pertama di West Ham, Bilic memimpin kelab London berkenaan ke tangga ke-7 EPL, dan pada musim lepas, West Ham mengakhiri saingan di tangga ke-11.