Skuad wanita Chelsea yang ditabalkan selaku juara Liga Super Wanita musim ini mengambil langkah terpuji selepas menyumbangkan kesemua hadiah wang kemenangan kepada badan amal kebajikan.
Badan amal dimaksudkan ialah ‘Refuge’ di mana badan tersebut membantu dalam memberikan perkhidmatan sokongan buat insan-insan yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Sehubungan dengan itu, The Blues yang dibimbing oleh Emma Hayes telah membuat keputusan untuk menyalurkan sumbangan bernilai £100,000 dan inisatif murni itu turut mendapat sokongan penuh daripada Chelsea.
”Ini adalah kerja kebajikan yang sangat dekat di hati dan minda skuad wanita kami, dan ia sangat penting buat pemilik pasukan, Mr [Roman] Abramovich dan semua orang di kelab ini,” ujar Emma Hayes kepada laman sesawang rasmi kelab tersebut.
”Ia juga membuatkan saya begitu berbangga kerana kelab kami menyokong mereka yang kurang berkemampuan pada waktu memerlukan.”
”Sehingga kini, penglibatan kami adalah untuk menyokong kempen secara terbuka dengan panggilan untuk bertindak tetapi kami semua mahu melakukannya dengan lebih daripada itu.”
”Dan sekiranya dengan menyumbangkan hadiah kemenangan kami dapat meredakan beberapa kebimbangan orang lain, itulah yang setidak-tidaknya kami mampu lakukan.”
Ini adalah mesej penting . Ini adalah kempen yang amat kami sayangi dan cara terbaik untuk menunjukkan sokongan kami lebih jauh adalah dengan memberikan hadiah kemenangan kami untuk membantu mereka yang memerlukan,” tambah Hayes lagi.
Meskipun saingan liga dibatalkan, Skuad wanita Chelsea dinobatkan selaku juara selepas dipilih berdasarkan purata mata per pelawanan.
Lebih menarik, berdasarkan kedudukan liga sebelum saingan terpaksa dihentikan akibat COVID-19, Chelsea juga masih belum mengalami sebarang kekalahan dan mencatatkan 12 kemenangan dan tiga keputusan seri selepas mengharungi 15 perlawanan.