Isu gaji pemain terus menjadi perdebatan utama dalam kempen bola sepak domestik Malaysia musim ini.
Sebelum ini, di peringkat 2 liga utama (Liga Super dan Liga Premier) ada beberapa pasukan yang dipotong mata dek kerana masalah ini.
Hukuman seumpama itu kali pertama diambil oleh pihak FMLLP dan disokong oleh FAM dan juga PFAM.
Masalah gaji ini melarat ke pasukan belia dan Presiden. Dan yang terbaru, ianya melibatkan skuad belia dan presiden Melaka United.
Dipetik dari sumber Mstar Online, ada pemain yang mahu identitinya dirahsiakan menghubungi piha Mstar Online dan memberitahu gaji mereka masih tertunggak.
Pemain tersebut juga memberitahu pihak Mstar Online bahawa gaji bulan April sampai hari ini masih belum diterima. Mereka risau masalah tersebut akan berlarutan untuk bulan Mei.
Pemain tersebut juga memberitahu, kebiasaannya gaji pemain untuk skuad di peringkat akar umbi akan masuk pada 7hb pada setiap bulan.
Pemain tersebut berkata:
“Masing-masing dah ‘pokai’ (kehabisan wang) dan terpaksa mencari duit sendiri bagi menampung perbelanjaan harian.”
“Pemain tempatan (Melaka) ditanggung keluarga manakala pemain luar negeri berdepan situasi lebih sukar.”
Ini juga mungkin menjadi punca utama penurunan prestasi oleh skuad belia dan skuad presiden pasukan Melaka sejak akhir-akhir ini.
Skuad Piala Belia Melaka United hanya menang 5 kali, seri sekali dan tewas 7 kali. Skuad Piala Presiden mereka pula hanya mencatatkan 1 kemenangan, 4 seri dan 9 kali tewas setakat ini.
Melaka United menafikan
Bagaimanapun sumber rapat Melaka United yang kami hubungi mendakwa berita yang ditimbulkan ini sebenarnya tidak betul dan ada sebahagian fakta yang disembunyikan.
“Berita ini tidak betul. Saya percaya berita ini ditimbulkan oleh bekas pemain dan staf pasukan Melaka United yang ditamatkan perkhidmatan kerana tidak puas hati dengan pengurusan,” dedah sumber kami kepada Semuanya BOLA.
“Persatuan mengambil pendekatan untuk berdiam diri untuk menjaga aib mereka. Tetapi saya berpendapat tiba masa untuk orang awam – khususnya penyokong Melaka United – untuk mengetahui hal sebenar.”