Para pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar (SMKPB) menerima kejutan apabila menerima kehadiran para pemain skuad Liga Super Pahang dalam sebuah majlis yang diadakan di sekolah itu.
Dalam program yang dikenali sebagai program Jejak Juara, skuad Pahang telah melawat sekolah tersebut sebagai salah satu usaha untuk mendekatkan skuad Pahang dengan para peminat terutama peminat-peminat muda.
“Ini adalah hasrat Tengku Muda Pahang sendiri yang mahu mendekatkan golongan muda kepada pasukan yang sebelum ini hanya dapat menonton mereka di padang sahaja.”
“Baginda sedar, golongan muda seperti ini perlu diberi dorongan dan sokongan supaya mereka tidak terheret ke aktiviti yang tidak berfaedah dan kita sentiasa menyayangi mereka.”
Lawatan itu diketuai oleh Dato’ Seri Haji Abdul Hamid Mohd Nazahar yang merupakan penyelaras program serta Dato’ Che Nasir Saleh yang merupakan pengurus pasukan Pahang.
Selain itu, barisan kejurulatihan Pahang yang diketuai Dollah Salleh dan juga barisan pemain skuad Pahang seperti Muslim Ahmad, Matthew Davies, Chinedu Bright Dike dan ramai lagi turut hadir.
Dalam majlis itu, pelbagai aktiviti telah pun dilakukan antaranya majlis solat hajat bersama skuad Pahang serta majlis simbolik penyarungan jersi kepada para pemain bola sepak SMKPB.
Simbolik itu dilakukan sebagai tanda para pemain tersebut telah diberi kepercayaan untuk membawa cabaran sekolah tersebut di kejohanan bola sepak diantara sekolah-sekolah di Pahang.
Selain daripada itu. skuad Pahang juga memberikan sumbangan sebanyak RM 4 ribu kepada SMKPB sebagai sumbangan menampung perbelanjaan tahunan sekolah tersebut.
Menurut TMP, lawatan sebegini akan terus diadakan di lokasi-lokasi lain di seluruh Pahang di masa akan datang sebagai langkah untuk menaikkan semangat pemain dengan melihat sokongan tak terbelah bahagi yang diberikan oleh penyokong kepada pasukan.
Baca juga: Senarai Rasmi Anugerah Tahunan EFL, Gol Sidwell Diiktiraf Jaringan Tercantik!