Skuad Negara Lakar Kemenangan Dramatik Pada Perlawanan Pembukaan Kejuaraan Futsal AFC 2018

Skuad negara

Skuad negara memulakan saingan peringkat kumpulan A dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan cabaran pesaing serantau, Vietnam 2-1 dalam saingan Kejuaraan Futsal AFC 2018 di Chinese Taipei petang semalam.

Kemenangan dramatik tersebut menjelma ketika perlawanan hanya berbaki 2.5 saat untuk ditamatkan setelah Mohamad Awalluddin Bin Mat Nawi berjaya menyempurnakan peluang yang terhidang dihadapan pintu gol Vietnam.

Aksi pada babak pertama lebih didominasi Vietnam dengan beberapa serangan yang mengancam kubu skuad negara yang dikawal Azrul Hadee Mohd Taufiq.

Ketangkasan Azrul Hadee dan disiplin yang ditunjukkan pemain negara ketika bertahan menafikan usaha yang dilancarkan anak buah Miguel Rodrigo itu.

Syed Aizad Daniel Syed Nasir mengawasi pergerakan Vu Duc Tung.  Foto: Vietnam Futsal Team

Vietnam akhirnya berjaya menemui sentuhan jaringan pada minit ke-19 babak pertama.

Vu Duc Tung yang gagal dikawal dengan baik oleh Saiful Nizam Mohd Ali berjaya melakukan percubaan sekaligus gagal dihalang Azrul Hadee untuk jaringan pertama buat Vietnam.

Skuad negara memperkemaskan aksi pada separuh masa kedua bagi kembali menyamakan kedudukan. Namun, segala usaha yang dilakukan masih menemui jalan buntu.

Keadaan tersebut memaksa ketua jurulatih negara, Chiew Chun Yong untuk memperjudikan nasib dengan menggunakan permainan ‘power play’ dan menjadikan tonggak utama, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrain sebagai ‘flying goalkeeper’.

Strategi yang digunakan ternyata membuahkan hasil apabila Awalluddin yang mendapat umpanan dari Khairul Effendy berjaya melakukan kuisan mudah untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-36 perlawanan.

Dua jaringan dari Awalluddin bantu skuad negara raih kemenangan pada perlawanan sulung. Foto: Vietnam Futsal Team

Ketika perlawanan dijangka berkesudahan dengan terikat 1-1, Awalluddin muncul wira skuad negara apabila dengan tenang beliau menyudahkan percubaan susulan yang dilakukannya untuk jaringan kemenangan skuad negara.

Lebih manis hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran yang ke-20 buat penjaring dua gol itu.

Mengulas mengenai kemenangan dramatik tersebut, Chiew Chun Yong menjangkakan perlawanan bertemu Vietnam ini akan berakhir dengan keputusan seri.

”Saya jangka perlawanan ini akan berakhir dengan keputusan seri. Pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan meraih kemenangan dan ternyata saya betul.”

”Saya berbangga dengan para pemain yang tidak menyerah kalah hingga ke saat  terakhir tetapi saya masih tidak berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan. Masih terdapat perkara perlu diperbaiki.”

Esok skuad negara akan bertemu tuan rumah, Chinese Taipei pada perlawanan kedua dan Chun Yong mengakui beliau kurang mengetahui mengenai lawan seterusnya yang akan ditemui itu.

”Sejujurnya saya tidak banyak mengetahui mengenai corak permainan mereka tetapi saya tahu bahawa mereka telah berkembang dan ia tidak akan menjanjikan perlawanan yang mudah buat kami.”

Kredit featured image: FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN