Skuad negara memulakan saingan peringkat kumpulan A dengan langkah kanan apabila berjaya menundukkan cabaran pesaing serantau, Vietnam 2-1 dalam saingan Kejuaraan Futsal AFC 2018 di Chinese Taipei petang semalam.
Kemenangan dramatik tersebut menjelma ketika perlawanan hanya berbaki 2.5 saat untuk ditamatkan setelah Mohamad Awalluddin Bin Mat Nawi berjaya menyempurnakan peluang yang terhidang dihadapan pintu gol Vietnam.
Aksi pada babak pertama lebih didominasi Vietnam dengan beberapa serangan yang mengancam kubu skuad negara yang dikawal Azrul Hadee Mohd Taufiq.
Ketangkasan Azrul Hadee dan disiplin yang ditunjukkan pemain negara ketika bertahan menafikan usaha yang dilancarkan anak buah Miguel Rodrigo itu.
Vietnam akhirnya berjaya menemui sentuhan jaringan pada minit ke-19 babak pertama.
Vu Duc Tung yang gagal dikawal dengan baik oleh Saiful Nizam Mohd Ali berjaya melakukan percubaan sekaligus gagal dihalang Azrul Hadee untuk jaringan pertama buat Vietnam.
Skuad negara memperkemaskan aksi pada separuh masa kedua bagi kembali menyamakan kedudukan. Namun, segala usaha yang dilakukan masih menemui jalan buntu.
Keadaan tersebut memaksa ketua jurulatih negara, Chiew Chun Yong untuk memperjudikan nasib dengan menggunakan permainan ‘power play’ dan menjadikan tonggak utama, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrain sebagai ‘flying goalkeeper’.
Strategi yang digunakan ternyata membuahkan hasil apabila Awalluddin yang mendapat umpanan dari Khairul Effendy berjaya melakukan kuisan mudah untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-36 perlawanan.
Ketika perlawanan dijangka berkesudahan dengan terikat 1-1, Awalluddin muncul wira skuad negara apabila dengan tenang beliau menyudahkan percubaan susulan yang dilakukannya untuk jaringan kemenangan skuad negara.
Lebih manis hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran yang ke-20 buat penjaring dua gol itu.
Mengulas mengenai kemenangan dramatik tersebut, Chiew Chun Yong menjangkakan perlawanan bertemu Vietnam ini akan berakhir dengan keputusan seri.
”Saya jangka perlawanan ini akan berakhir dengan keputusan seri. Pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan meraih kemenangan dan ternyata saya betul.”
”Saya berbangga dengan para pemain yang tidak menyerah kalah hingga ke saat terakhir tetapi saya masih tidak berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan. Masih terdapat perkara perlu diperbaiki.”
Esok skuad negara akan bertemu tuan rumah, Chinese Taipei pada perlawanan kedua dan Chun Yong mengakui beliau kurang mengetahui mengenai lawan seterusnya yang akan ditemui itu.
”Sejujurnya saya tidak banyak mengetahui mengenai corak permainan mereka tetapi saya tahu bahawa mereka telah berkembang dan ia tidak akan menjanjikan perlawanan yang mudah buat kami.”
Kredit featured image: FAM