Ujian pertama beraksi dalam cuaca sejuk bermula hari ini apabila skuad Malaysia B23 Tahun dijadualkan menentang kelab divisyen 3 Liga Korea, Mokpo City FC dalam aksi persahabatan pukul 1.30ptg waktu Malaysia.
Perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri 1-1. Malaysia mendahului di separuh masa pertama hasil jaringan daripada Syamer Kutty Alba di minit ke 39 sebelum Mokpo City menyamakan kedudukan pada minit ke 70 melalui Kim Sangwook.
Ketua jurulatih skuad B23 negara, Datuk Ong Kim Swee berharap pemainnya dapat menyesuaikan diri dengan baik sebagai persediaan untuk mengharungi cuaca lebih kurang sama di China, awal bulan depan.
Menurut Kim Swee, keadaan cuaca di Mokpo, Korea Selatan semalam suhu mencecah dua darjah selsius dan ia jelas jauh berbeza dengan cuaca di Malaysia.
“Ini hari ketiga kami berlatih dan cuaca hari ini paling mencabar dengan keadaan sejuk dan berangin.
“Tapi pemain sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan itu dan semua perancangan kami berjalan lancar seperti yang diinginkan.
“Saya harap lepas perlawanan pertama berdepan Mokpo City ini pemain dapat menyesuaikan diri dengan lebih baik bukan saja dengan keadaan cuaca tapi juga dengan corak permainan lebih efektif,” katanya kepada Berita Harian.
Selain berdepan Mokpo City, skuad Kim Swee juga akan mengharungi dua lagi aksi persahabatan di Korea Selatan iaitu menentang Honam University pada Jumaat ini dan Jeonju Citizen pada 28 Disember.
Mereka juga akan cuba aturkan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan Korea Selatan B23.
Selepas itu, mereka akan memilih 23 pemain terbaik yang akan berangkat China untuk fasa latihan pusat terakhir sebelum menghadapi saingan sebenar.
Selain itu, Kim Swee menjelaskan fokus beliau untuk perlawanan persahabatan adalah untuk menguji barisan kesebelasan utama terkuat yang akan menggalas tugas di China nanti.
“Dua perlawanan persahabatan (berdepan PJ Rangers dan Melaka United) sebelum ini saya turunkan dua barisan pemain berbeza di babak pertama dan kedua.
“Jadi, dalam perlawanan di Korea saya akan turunkan pemain barisan kesebelasan kemungkinan yang akan bermain antara 60 hingga 70 minit.
“Ia bagi membolehkan pemain mendapat tahap kecergasan terbaik selain memperbaiki kelemahan yang ada ketika bertemu PJ Rangers dan Melaka United,” katanya.