Skuad Malaysia bawah 23 tahun mencatat keputusan seri, 1-1 ke atas Jeonju Citizen FC dalam aksi persahabatan terakhir di Korea Selatan.
Safawi Rasid muncul sebagai penyelamat apabila menyamakan kedudukan pada minit ke 75 selepas skuad negara ketinggalan 0-1 di separuh masa pertama.
Pada perlawanan itu, Datuk Ong Kim Swee menurunkan gandingan Jafri Firdaus Chew, Kogileswaran dan Akhyar Rasid di posisi serangan manakala Adam Nor Azlin, Shazwan Zaipol serta Irfan Zakaria mengawal benteng pertahanan kali ini.
Minggu lepas, anak buah Kim Swee mencatat keputusan seri ke atas mencatat kemenangan tipis, 1-0 ke atas pasukan semi-pro, Honam University hasil jaringan daripada Kogileswaran pada minit ke 84 pada aksi persahabatan.
Sebelum itu, pasukan negara sekadar berpuas hati dengan keputusan 1-1 dengan pasukan dari divisyen 3 Liga Korea, Mokpo City FC.
Kim Swee turut menjelaskan tiada kelemahan ketara selepas dua perlawanan itu namun meminta pemain yang beraksi pada perlawanan itu supaya bijak mengawal asakan pihak lawan selain beraksi mengikut permainan sendiri.
Jelasnya, pemain sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sejuk di Korea Selatan ketika ini dan yakin mereka mampu menghadapi keadaan tersebut sehingga skuad negara berangkat ke China pada 30 Disember ini.
Selepas perlawanan menentang Jeonju ini, 23 pemain yang terbaik akan dibawa ke China untuk latihan pusat fasa terakhir di mana tiga daripada 26 pemain yang dibawa ke Korea Selatan terpaksa digugurkan.
Di China, skuad bawah 23 tahun negara dijangka akan menghadapi satu lagi perlawanan persahabatan menentang salah satu pasukan bawah 23 tahun yang menyertai kejohanan itu.
Pada Kejohanan AFC B-23 nanti, skuad muda negara akan membuka tirai Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.
Juara dan naib juara kumpulan akan layak ke peringkat seterusnya. Malaysia membuat penampilan pertama dalam kejohanan ini.