Sepak mula Liga Malaysia akan membuka tirai pada 28 Februari hadapan apabila juara Liga Super 2019, JDT akan menjadi tuan rumah kepada juara Piala FA musim lalu, Kedah sekaligus menandakan bermulanya saingan Liga Super Malaysia (MSL).
Maka tidak hairanlah pasukan-pasukan Liga Malaysia kini sedang rancak mempersiapkan pasukan dengan program pra musim masing-masing.
Bagi juara Liga Super enam kali berturut-turut, dua perlawanan persahabatan telah pun diadakan setakat ini bagi menguji kemampuan pemain selepas tempoh rehat panjang dan latihan yang telah dimulakan sejak DIsember lalu.
JDT menewaskan pendatang baharu Liga Premier, Kuching FA 4-0 pada 11 Januari lalu, diikuti dengan kemenangan dengan jumlah jaringan yang sama menentang wakil Singapura, Home United selang empat hari kemudian.
Kedua-dua perlawanan diadakan di arena baharu milik JDT, Stadium Sultan Ibrahim.
Selepas mengharungi dua perlawanan di tempat sendiri sebagai pemanas badan, skuad Harimau Selatan kemudiannya meneruskan program pra musim mereka di Dubai.
Lima perlawanan bakal menanti skuad bimbingan Benjamin Mora di negara Timur Tengah itu. Antara kelab yang akan menguji skuad Harimau Selatan ialah Riga FC (Latvia), Dibba Al Fujairah Club (UAE), MSK Zilina (Slovakia), dan Emirates FC (UAE).
Kesemua perlawanan bakal diadakan di dalam tempoh 10 hari di antara 20 sehingga 30 Januari ini.
Menariknya, tatkala kebiasaan pra musim pasukan-pasukan akan diuji oleh pasukan berstatus kelab, JDT pula akan diuji oleh pasukan kebangsaan Turkmenistan.
Turkmenistan bukanlah boleh dianggap lawan calang-calang berdasarkan prestasi terkini pasukan tersebut.
Berada di dalam kumpulan yang sama seperti Korea Selatan dan Korea Utara di pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Turkmenistan kini adalah pendahulu Kumpulan H.
Perlawanan menentang JDT pasti akan menjadi satu lagi medan ujian buat pasukan yang berada di rangking ke-129 dunia itu sebelum pertemuan menentang Korea Selatan pada Mac hadapan.
Bagi perlawanan tersebut, JDT dijadualkan akan bertemu Turkmenistan pada 26 Januari di Stadium Jebel Ali Coe waktu tempatan.