Skuad Juara Piala Malaysia 2000, Di Mana Mereka Kini?

Piala Malaysia

Tarikh 15 Oktober kira-kira 20 tahun lalu menjadi antara detik manis buat para penyokong Perak selepas skuad Yob berjaya menumpaskan Negeri Sembilan 2-0 sekaligus muncul juara Piala Malaysia 2000 bagi mengulangi pencapaian mereka pada edisi 1998.

Duo berbisa Perak, Khalid Jamlus dan V. Saravanan muncul watak penting pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu apabila kedua-duanya meledakkan jaringan yang nyata memusnahkan harapan Negeri Sembilan untuk menamatkan kemarau 55 tahun mendakap trofi tersebut.

Kini selepas hampir 20 tahun berlalu, pastinya ada yang tertanya-tanya di mana barisan skuad juara tersebut pada ketika ini. Jadi kamu cuba untuk menjejaki pemain-pemain yang menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia ketujuh buat Perak itu.

Kesebelasan utama

1) Tay Sin Kiat

Penjaga gol yang cemerlang menafikan deretan percubaan terutamanya daripada Azman Adnan dan Effendi Malek pada aksi final itu pernah menjadi jurulatih penjaga gol Perak menghadapi saingan Liga Super 2009.

Selepas separuh musim bersama skuad Yob yang ketika itu dibimbing Datuk M. Karathu, kelibat Tay Sin Kiat sudah tidak lagi kelihatan.

Beliau kini dikhabarkan menetap di Johor dan menjadi kontraktor berkaitan cat. Sumber mengatakan Tay Sin Kiat turut memberikan sedikit tajaan buat pasukan Manjung City FC.

2) Chan Kok Heng

Beliau adalah merupakan pemain paling setia buat Perak apabila 16 tahun ‘menghambakan’ diri dalam kancah bola sepak hanya dengan menyarung jersi negeri kelahirannya ini.

Walaupun sudah menjangkau usia 51 tahun, Chan Kok Heng masih mampu beraksi dengan baik dan seringkali terlibat dengan perlawanan bekas pemain Perak serta beraksi untuk pasukan veteran Kelab Rekreasi China Perak (PCRC).

3) Syamsul Mohd Saad

Bekas pertahanan kental yang merupakan abang kepada kapten Perak, Shahrul Mohd Saad ini menjawat jawatan sebagai Pengarah Teknikal di Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

Sebelum itu, beliau turut pernah dilantik sebagai Ketua Jurulatih Perak pada musim 2016 dan juga bersama Perlis setahun kemudian.

4) Abu Bakar Fadzim

Lebih mesra dengan panggilan ‘Coach Burn’ dalam kalangan penggiat bola sepak tanah air, Abu Bakar Fadzim ketika ini merupakan ketua jurulatih bagi pasukan Perak II.

Beliau membimbing Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dari saingan Liga FAM hinggalah ke Liga Super, kelab tersebut bagaimanapun mengalami penjenamaan semula dan dinamakan Perak II.

Abu Bakar yang dilabel sebagai seorang jurulatih yang gemar memberikan peluang kepada pemain muda untuk menunjukkan bakat mereka terus diberikan kepercayaan oleh pihak PAFA untuk meneruskan falsafahnya itu.

5) Chan Wing Hoong

Gandingan Chan Wing Hoong dan Abu Bakar Fadzim bukan sahaja terhenti selepas kedua-duanya mengumumkan persaraan dalam kancah bola sepak, malah ia diteruskan di barisan kejurulatihan.

Hal ini kerana Chan Wing Hoong bertindak selaku penolong jurulatih Perak II dan kerjasama mereka berdua sudah terjalin dalam tempoh yang lama.

Chan Wing Hoong turut berjaya membimbing skuad muda Perak menjuarai saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Ipoh selepas menundukkan Kedah dengan keputusan 2-1.

6) K. Nanthakumar

Bekas pemain tengah bertahan tinggi lampai ini turut terjun ke bidang kejurulatihan sebaik sahaja mengumumkan persaraan daripada bola sepak pada tahun 2017.

Musim lalu beliau dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Piala Presiden Perak dan pasukan tersebut berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir tetapi dikecewakan oleh Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC).

Jawatan itu terus kekal disandang Nanthakumar dan beliau kini dibantu bekas rakan sepasukannya ketika bersama Perak, Shahrulnizam Mustapa.

7) Ahmad Shahrul Azhar Sofian

Kapten berpengaruh buat pasukan Perak ini pernah dilantik sebagai penolong pengurus pada musim 2012. Beliau kemudiannya berhijrah ke Felda United sehingga menjadi pembantu kepada B. Satiananthan.

Melihatkan aura dimiliki beliau, pengurusan tertinggi PAFA pada musim 2017 telah membawanya kembali ke Perak untuk bertindak sebagai Setiausaha Kehormat PAFA dan pengurus pasukan.

Kini, khidmatnya ditagih Johor Darul Ta’zim yang memberikan tanggungjawab sebagai Pegawai Perhubungan dan Pembangunan Akademi JDT.

8) Azrul Amri Burhan

Pemain tengah kreatif berusia 45 tahun itu dikhabarkan terlibat dengan pembangunan bola sepak akar umbi di sekitar Lembah Klang.

Azrul yang pernah digelar ‘one million boy’ itu turut aktif beraksi untuk pasukan bekas pemain dan pasukan-pasukan liga sosial.

9) M. Nagaraja

Seperti yang dilaporkan oleh Semuanya BOLA dalam artikel sebelum ini, pemain sayap lincah kelahiran Parit itu mengusahakan ladang kelapa sawit miliknya sendiri.

Walaupun tidak terlibat sebagai jurulatih, cintanya pada bola sepak masih dicurahkan dengan beraksi untuk pasukan bekas pemain Perak.

10) V. Saravanan

V. Saravanan pada ketika ini bermastautin di Finland apabila beliau merupakan ketua jurulatih bagi pasukan bawah 13 tahun (B13) sebuah kelab gergasi di sana, HJK Helsinki.

Menurut Saravanan ketika siaran Bola@Mamak, keputusannya untuk keluar daripada zon selesa yang diambil ini adalah bagi merealisasikan impiannya yang tidak kesampaian ketika bergelar pemain, iaitu mahu beraksi di luar negara.

Menyingkap kembali aksi final pada 2000 itu, Saravanan berjaya menjaringkan gol menarik dari sudut sukar pada minit ke-82 untuk menewaskan Hamsani Ahmad di gawang Negeri Sembilan.

11) Khalid Jamlus

Peledak berbisa Perak yang membuka tirai jaringan pada minit ke-55 final Piala Malaysia 2000 itu pernah menggalas tanggungjawab selaku pembantu jurulatih di PDRM FA pada musim 2017.

Ketika ini dikhabarkan beliau banyak melibatkan diri dengan pembangunan akar umbi.

Kredit foto: Suaraperak

Pemain Simpanan

1) Zamri Mat Arif

Zamri menjadi antara pemain yang berjaya memenangi dua kejuaraan Piala Malaysia bersama Perak apabila dia merupakan penjaga gol utama ketika menjuarai Piala Malaysia 1998.

Beliau sebelum ini bertindak jurulatih penjaga gol skuad Piala Presiden PKNP dan selepas penjenamaan semula kelab tersebut kepada Perak II, Zamri beralih angin ke Manjung City FC.

2) Raja Azlan Shah Raja Shoib

Bagi anda yang mengikuti rapat perkembangan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), anda akan mengetahui apakah tugasan dilakukan oleh Raja Azlan pada ketika ini.

Beliau bertindak selaku ketua jurulatih bagi skuad bawah 17 tahun Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

3) Shamsul Akmar Japperi

Pemain tengah yang turut pernah beraksi untuk Negeri Sembilan ini dikatakan menetap di Ipoh tetapi tiada informasi terkini yang dapat dikongsikan mengenai beliau.

Pada perlawanan tersebut, beliau dimasukkan di babak kedua bagi menggantikan M. Nagaraja yang mengalami kecederaan.

4) Indra Putra Mahayuddin

Nama yang tidak perlu lagi untuk diperkatakan kerana anda pasti sudah mengetahui di mana beliau ketika ini.

Indra Putra yang berusia 39 tahun beraksi untuk pasukan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Premier 2020.

5) P. Gunasekaran

Pemain sayap yang turut dimasukkan pada babak kedua ini telah membuka ruang kepada Khalid Jamlus bagi mengumpan cantik bola kepada V. Saravanan untuk gol kedua Perak.

Turut tidak terlibat sebagai jurulatih, beliau masih aktif sekiranya terdapat perlawanan melibatkan bekas pemain Perak.

6) Liew Kit Kong

Liew Kit Kong terkenal dengan peranan sebagai ‘supersub’ ketika bersama Perak. Musim lalu, beliau menjadi pembantu kepada E. Elavarasan di PDRM FA beraksi di pentas Liga Premier.

7) K. Rajini

K. Rajini kini menetap di Pasir Putih, Ipoh. Sama seperti Shamsul Akmar, tiada informasi terkini dapat dikongsikan.

Kredit foto: Yob4ever

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN