Ia pasti pengalaman yang luar biasa buat pemain-pemain JDT di pra musim pada kali ini.
Daripada menikmati makan malam di Restoran Nusr-Et Steakhouse; restoran yang dimiliki Salt Bae, turun ke latihan dengan penuh bergaya dengan ‘supercar’, pra musim di Dubai pada kali ini jelas memberi kelainan buat pemain dan pegawai.
Selepas dua perlawanan pra musim berlangsung setakat ini, barisan pemain JDT kali ini disajikan pula dengan pengalaman merentas gurun di Dubai.
Dubai Safari adalah salah satu perkara yang wajib dicuba jika anda berada di sana, dan ia datang dengan beberapa pakej menarik.
Antara pengalaman yang ditawarkan adalah merentas gurun dengan menggunakan kenderaan SUV 4×4 Land Cruiser, luncur pasir, menaiki unta, dan pelbagai lagi pengalaman menarik yang pasti akan dikenang seumur hidup.
Melalui perkongsian oleh media JOHOR Southern Tigers, skuad JDT kemudiannya turut disajikan dengan makan malam di padang pasir di Dubai, berkonsepkan kemewahan Arabia.
Skuad JDT akan berhadapan dengan pasukan kebangsaan Turkmenistan di Stadium Jebe Ali Coe esok.
Dua perlawanan pra musim yang dilalui setakat ini berakhir dengan satu kekalahan dan satu kemenangan.
Tewas 2-0 kepada Rifa FC dari Latvia, skuad Benjamin Mora kemudiannya menewaskan kelab UAE, Dibra Al Hujairah dengan jaringan 1-0.