Skuad futsal wanita Perak muncul juara Kejohanan Futsal Antarabangsa Powernet 2020 Piala Raja Nazhatul Shima selepas berjaya menundukkan wakil dari Indonesia, Inspire Medan 9-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Turun selaku pasukan pilihan, barisan pemain kendalian Ahmad Rasidi Hashim itu tidak berdepan masalah untuk mengukir kejayaan pada perlawanan yang turut disaksikan Yang Mulia Raja Puan Besar Raja Nazhatul Shima Binti Almarhum Sultan Idris Shah II Afifullah.
Perak tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Rabiah Bishriyah Abdul Kadir melepaskan rembatan dari kawasan tengah ketika perlawanan baru berlangsung 10 saat yang tidak mampu dihalang penjaga gol, Rosari Lumban Gaol.
Selepas itu, Perak menambah tiga lagi jaringan menerusi Nur Lyana Soberi, Dayang Nur Atasha Shahrulsani dan Rabiah mencetak jaringan kedua peribadi untuk kedudukan 4-0 pada separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Perak yang diketuai Nuraiin Syafika Omar langsung tidak memberikan belas kasihan buat pasukan lawan apabila melengkapkan kemenangan 9-0 dengan Farahiyah Ridzuan melengkapkan hatrik dan tambahan dua lagi jaringan daripada Nur Shazreen Munazli.
Dengan kemenangan tersebut, Perak meraih hadiah wang tunai berjumlah $2500 USD, sementara itu Farahiyah Ridzuan dipilih selaku pemain terbaik perlawanan akhir untuk menerima hadiah berupa sepasang kasut futsal jenama PAN.
Kredit foto: Perak Futsal