Perak membuka tirai Kejohanan Futsal Antarabangsa Powernet 2020 dengan langkah kanan selepas berjaya menundukkan Bank Sumut Cabkor Medan 2-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, malam tadi.
Meskipun diberikan tentangan yang cukup sengit oleh wakil daripada Indonesia itu, skuad bimbingan Mohd Azizi Musa itu begitu disiplin bagi menghadiahkan tiga mata penuh pada perlawanan Piala Raja Iskandar Dzurkarnain itu.
Dua jaringan Perak dihasilkan oleh ketua pasukan, Muhammad Faizul Azuan Ramli Sharip dan Muhammad Firdaus Zulkefli pada separuh masa pertama.
Aksi menarik ditampilkan kedua-dua pasukan apabila melancarkan serangan berbahaya sebaik wisel permulaan ditiupkan pengadil perlawanan.
Faizul membuatkan penyokong tuan rumah melonjak kegembiraan selepas percubaan voli dilakukannya susulan ‘set-piece’ daripada Razin Rahim tidak mampu dihalang penjaga gol Bank Sumut, Visrut Sirawatjirapong untuk gol pertama buat Perak.
Berselang lapan minit kemudian, giliran Firdaus pula mengecewakan Visrut setelah serangan balas pantas dimulakan penjaga gol, Muhammad Syawal Sabaruddin disudahkan dengan baik pemain kelahiran Ipoh itu.
Memasuki babak kedua, Bank Sumut Cabkor Medan yang dibimbing bekas ketua jurulatih Perak, Qusmaini Noor Rusli memperkemaskan corak permainan dan memiliki beberapa peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan.
Namun, dua peluang keemasan yang diperolehi sekadar singgah di tiang gol manakala deretan percubaan yang lain berjaya dinafikan Syawal Sabaruddin. Tidak keterlaluan pula untuk menyatakan Syawal adalah pemain terbaik bagi perlawanan ini.
Sementara itu dalam saingan Piala Raja Nazhatul Shima, skuad wanita mencatatkan kemenangan bergaya selepas menewaskan wakil dari Indonesia, Inspire dengan keputusan 17-0.
Kredit foto: Perak Futsal