Skuad futsal negara memulakan saingan kejohanan jemputan The Belt and Road Cup CFA International Futsal Tournament 2019 dengan langkah kanan selepas berjaya membenam pasukan yang berada di ranking ke-45 dunia, Mexico 9-2, sebentar tadi.
Kejohanan yang dianjurkan Biro Sukan Chengdu ini mendapat kerjasama Persatuan Bolasepak China (CFA) selaku tuan rumah dan turut menampilkan Mexico dan Myanmar.
Pemain lincah, Mohd Ridzwan Bakri menyerlah pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Qingbaijiang itu selepas beliau berjaya meledak empat jaringan.
Mohd Awalluddin Mat Nawi dan Abu Haniffa Hassan masing-masing mencetak dua jaringan manakala pemain muda meningkat naik, Ahmad Harith Naim Mohd Nasir dengan satu gol.
Ridzwan ketika dihubungi wakil Semuanya BOLA, memuji kerjasama sepasukan yang dipamerkan tetapi tidak mahu terlalu dibuai dengan kemenangan besar itu.
”Kami semua menunjukkan kerjasama sepasukan yang cukup bagus. Begitu juga dalam menyudahkan dengan baik deretan peluang yang dicipta. Namun, kami tidak boleh terlalu berpuas hati kerana masih terdapat aspek yang perlu dipertingkatkan lagi.”
Aksi kedua pasukan yang dibimbing Chiew Chun Yong itu bakal berlangsung esok apabila mereka akan bertemu China pada jam 7.00 malam.
Skuad negara kini dalam persiapan bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFF yang bakal berlangsung di Ho Chi Minh, Vietnam pada 21 hingga 27 November nanti.
Misi besar digalas skuad negara pada saingan serantau tersebut apabila pasukan yang menamatkan saingan di tiga kedudukan teratas akan mendapat slot ke Kejuaraan Futsal AFC 2020 yang berlangsung di Ashgabat, Turkmenistan.
Kredit foto & info: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)