Pasukan negara bimbingan Bojan Hodak menamatkan cabaran di Kejohanan Piala AFC B-19 di Indonesia dengan kekalahan 2-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Pakansari, Indonesia.
China sememangnya sudah tersingkir dan gagal layak ke peringkat seterusnya setelah tewas dua kali dengan jaringan 1-0, masing-masing kepada Tajikistan dan Arab Saudi.
Manakala skuad bimbingan Bojan Hodak memerlukan kemenangan meyakinkan untuk sebarang peluang mengintai tempat ke Piala Dunia B-20.
Namun demikian impian sekadar seperti bermimpi di siang hari buat pasukan muda negara, apabila Tao Qianglong dan Xu Yue masing-masing menyumbangkan satu gol untuk terus menghantar skuad negara pulang.
Bukan sahaja gagal mara ke pusingan seterusnya, malah pasukan negara turut menduduki kedudukan tercorot saingan Kumpulan D.
Malaysia sebenarnya bermula dengan baik dalam perlawanan ini. Sepakan percuma Nik Akif Syahiran seawal minit ke-2 perlawanan menepati sasaran, namun berjaya dihalang penjaga gol China, Peng Peng.
Malangnya, itu adalah satu-satunya percubaan tepat oleh pasukan negara ke arah gol sepanjang babak pertama perlawanan.
Manakala China melakukan empat percubaan dalam tempoh yang sama, dengan dua peluang keemasan melalui tandukan Guo Tianyu yang liar pada minit ke-26 dan Liu Chaoyang yang gagal menyempurnakan gerakan set-pieces oleh rakan sepasukan.
China akhirnya menemui cara untuk menghukum benteng pasukan negara apabila hantaran Liu Chaoyang mudah disudahkan oleh Tao.
Malaysia cuba bertindak balas pada babak kedua perlawanan, namun kurang kreativiti ketika melakukan serangan. Kebanyakkan serangan mudah dimatikan oleh pertahanan lawan, sebelum sempat mengancam penjaga gol.
Xu Yue kemudiannya menghukum pasukan negara dengan rembatan deras dari luar kotak penalti sekaligus menewaskan Azri Ghani untuk China selesa mendahului 2-0
Paling hampir Malaysia hampir menemui gol penyamaan ialah melalui percubaan bintang muda negara, Akhyar Rashid. Namun percubaan pemain muda dari Kedah itu terkena palang pada minit ke-76 perlawanan.
Tidak banyak perkara lain yang boleh diperkatakan selain daripada percubaan Akhyar. Wisel ditiupkan pengadil perlawanan, Khamis Mohamed Al Khuwari, dan impian kita untuk pasukan negara beraksi di Piala Dunia kekal sebagai angan-angan buat masa ini.