Quantcast

BERITA

Skuad Bawah-15 Malaysia Tewaskan Iran 2-0 Di China

Persiapan skuad bawah-15 Malaysia menjelang Kejuaraan Bawah-15 AFF 2019 di Chonburi, Thailand mendapat momentum positif selepas berjaya menewaskan Iran 2-0 dalam Kejuaraan CFA Bawah-15 International Tournament di Haikou City, China semalam.

Skuad yang dibimbing oleh P. Maniam dan pembantu jurulatih, Firdaus Tan Aziz itu menjaringkan 2 gol pada separuh masa kedua untuk untuk memulakan kempen mereka di China dengan langkah kanan. Dua gol tersebut dijaringkan oleh 2 pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Aliff Izwan Yuslan dan Daniel Edzuan Anuar.

Penyerang skuad bawah-15 Malaysia, Aliff Izwan meraikan jaringannya ketika menentang Iran dalam Kejuaraan CFA B-15 International Tournament di Haikou City, China. (Foto: news.cn)

Selepas ini, skuad bawah-15 negara akan turun menentang tuan rumah, China pada hari Sabtu (20 Julai 2019) dan Korea Utara pada hari Isnin (22 Julai 2019).

Sejumlah 22 pelatih AMD telah dipilih untuk menyertai skuad bawah-15 negara, dengan baki 3 pemain lagi datangnya dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (Harry Danish), Akademi JDT (Irfan Shakimi) dan SMK Ibrahim Fikri (Radzilah Helmi).

Skuad bawah-15 negara bakal memulakan aksi Kejuaraan Bawah-15 AFF 2019 dengan menentang Brunei pada 28 Julai nanti. Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama-sama dengan Australia, Brunei, Kemboja, Thailand dan Laos.