Pengarah Teknikal Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Indra Sjafri telah pun mengesahkan skuad kebangsaan Indonesia bawah 20 (B-20), bakal menghadapi enam perlawanan ujian di Eropah.
Ketika ini, mereka telah pun menjalani kem latihan pusat di Turki terlebih dahulu sejak 16 Oktober lalu dan kekal di sana sehingga 5 November 2022.
Selesai menjalani latihan di negara tersebut, skuad B-20 itu bakal berlepas ke Malaga, Sepanyol sehingga 4 Disember 2022 dengan beberapa siri perlawanan bakal diadakan.
Tim U-20 jalani latihan perdana di Turki pada Minggu (16/10).
Semangat berproses, Garuda Nusantara! 🦅#KitaGaruda pic.twitter.com/Zcu1iLTg3u
— PSSI (@PSSI) October 16, 2022
Tujuan kem latihan pusat itu dijalankan oleh PSSI ialah sebagai langkah persiapan sebelum mereka menghadapi kempen saingan Piala Asia dan kejohanan Piala Dunia B-20 pada tahun hadapan.
Setakat ini, enam lawan yang bakal dihadapi oleh barisan pemain muda tersebut masih tidak diumumkan oleh Indra Sjafri kepada media.
Menurut beliau, pasukan yang bakal dihadapi nanti ialah berstatus negara dan bukannya kelab di Eropah dalam misi untuk mengukuhkan persiapan bagi memberi aksi lebih baik pada saingan tahun hadapan.
“Ketika ini saya akui tidak ingat nama pasukan-pasukan yang dihadapi oleh skuad Indonesia. Ada beberapa nama negara kuat turut berada dalam senarai, dengan jumlah enam perlawanan bakal dihadapi,” jelas beliau menerusi Bola.com.
Pada masa sama, Shin Tae-yong selaku jurulatih Indonesia menegaskan kem latihan pusat tersebut juga bertujuan untuk meningkatkan lagi aspek kualiti individu para pemain.
Sehingga kini di Turki, pasukan tersebut sudah pun menjalani latihan di padang Kempinski Hotel Football, Antalya yang dilihat serba lengkap dari segi fasiliti.
Pengendali dari Korea Selatan itu juga memuji padang yang dijadikan kawasan latihan mereka dan menganggap ia sangat membantu para pemain.
Pemanasan di awal pekan! 🔥#KitaGaruda pic.twitter.com/u2jlSuZq1T
— PSSI (@PSSI) October 17, 2022
“Struktur padang tersebut sangat baik untuk para pemain menjalani latihan. Di sini, kami akan memfokuskan pada kualiti kawalan bola para pemain dan menilai prestasi semasa mereka.
“Keadaan para pemain juga berada dalam keadaan yang baik, dan mereka telah pun menjalani siri latihan dengan begitu tekun sekali,” ujar Tae-yong.
Tambah Tae-yong, faktor cuaca di Turki ketika ini juga tidak menjadi beban buat para pemain untuk menjalani latihan dan menganggap suhu lebih kurang 20 darjah selsius ketika itu sangat membantu.
Siri latihan pusat mereka di Turki bakal berakhir pada 5 November 2022, sebelum pasukan tersebut berlepas ke Sepanyol dan berada di sana sehingga 4 Disember.