‘Skuad AMD B-17 Jadi Mangsa Belasahan Di Jepun’- Budaya Kabel Masih Berleluasa?

Baru-baru ini skuad Akademi Mokhtar Dahari bawah 17 (AMD B-17) telah pun menyertai kejohanan Sanix Cup 2024 di Jepun dengan diwakili oleh 22 pemain secara keseluruhan untuk membawa cabaran pada awal tahun 2024.

Sepanjang berada di sana, skuad AMD B-17 yang juga mewakili Malaysia itu bakal berdepan cabaran beberapa pasukan tempatan sana iaitu Kashiwa Reysol, Sagan Tosu, Gamba Osaka, serta banyak lagi pasukan dan dikelaskan dalam empat kumpulan.

Namun, aksi pertama tidak seperti diharapkan apabila bakal pelapis Harimau Malaya itu dibelasah 0-10 oleh Gamba Osaka pada aksi pertama bersama aksi cukup tidak menyakinkan.

Daripada segi kualiti permainan, ia jelas sangat mengecewakan apabila para pemain AMD B-17 tidak mampu untuk memberi persaingan terbaik buat pasukan lawan yang jauh lebih bersedia serta serba lengkap di atas padang.

Keputusan tersebut jelas menjadi satu tamparan besar buat maruah bola sepak negara kita di pentas antarabangsa, dengan pelbagai kritikan sudah pun diberi oleh peminat tempatan menerusi media sosial.

Walaupun bangkit mencipta keputusan seri 0-0 untuk aksi kedua menentang Aomori Yamada High School, skuad kebangsaan tetap merekodkan kekalahan 2-4 menerusi penentuan penalti.

Beberapa kritikan timbul seusai aksi pertama lalu di media sosial mengenai kualiti pemain yang dibangunkan belum cukup matang atau cara kejurulatihan tidak begitu memberi kesan dalam permainan di pentas antarabangsa.

Tak kurang isu ‘kabel’ masih lagi terus berlanjutan dengan beberapa pemain tidak layak tetap terpilih menyertai akademi tersebut serta beraksi di pentas antarabangsa.

Selepas ketiadaan Datuk Lim Teong Kim bersama AMD, jelas prestasi ditampilkan akademi tersebut kurang memberansangkan serta beberapa pendedahan negatif turut dipaparkan menerusi media sosial.

Walhal, AMD merupakan satu wadah terbaik buat pembangunan bakat-bakat muda lebih berkualiti untuk melahirkan lebih banyak pelapis berbakat besar buat masa depan bola sepak negara.

Tetapi jika isu kabel diperkatakan itu benar berlaku, maka perjalanan bola sepak kita untuk menjadi antara kuasa besar di pentas Asia juga mungkin sukar kerana budaya tersebut masih berleluasa.

Malah, ianya turut diakui oleh salah seorang individu kepada Semuanya BOLA mengenai budaya tersebut apabila beliau merasai sendiri pengalaman itu dengan membabitkan anaknya di sebuah akademi.

Individu tersebut turut mengakui sesetengah akademi sebenarnya sudah pun memiliki nama pemain pilihan mereka tanpa melalui sesi uji bakat dan hanya 1-2 slot kekosongan dibuka secara umum.

Jika budaya ini terus tidak dibendung, maka kita sendiri akan terlepas peluang untuk melihat bakat berkualiti dikembangkan pada masa hadapan untuk menjadi pelapis terbaik Harimau Malaya.

Sebaliknya, kita akan terus tertanya-tanya dan menyalahkan pelbagai aspek melihat pemain yang lahir daripada budaya kabel ini di suatu hari giat merobek maruah negara di pentas antarabangsa seperti kita lihat pada keputusan lalu itu.

Pandangan anda?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN