‘Skandal Rasuah Liga-M 1994’ – FA Singapura Tarik Balik Penggantungan Seumur Hidup Bekas Pemain & Pengadil

K. Kannan FAS Rasuah

Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) mengumumkan telah menarik balik penggantungan seumur hidup bekas pemain kebangsaan K. Kannan dan pengadil Thiru Rajamanickam.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan, FAS berkata pihaknya membuat keputusan tersebut selepas menerima rayuan bertulis daripada kedua-dua individu berkenaan pada tahun lalu dan penggantungan ke atas mereka telah ditamatkan pada Selasa lalu.

Kannan dihukum larangan dari terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak pada 1995 selepas didapati bersalah bersama dua lagi individu lain merasuah penjaga gol Singapura sebanyak $80,000 dalam Piala Malaysia menentang Perlis pada Mei 1994.

Dia dikenakan hukuman penjara selama 14 bulan dan didenda sebanyak $40,000

Rajamanickam, bekas pengadil FIFA pula juga dikenakan larangan terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak dan dibatalkan pendaftaran dari senarai pengadil FAS pada 1994 selain dihukum penjara selama lapan bulan dan didenda $1,000 kerana menerima rasuah sebanyak $1,000 dari seorang ‘broker’.

Dia didapati mengatur pengadil perlawanan yang dilantik agar memberi kelebihan kepada pasukan Singapura dalam aksi menentang Kelantan pada April 1994.

“Selepas membuat semakan ke atas kedua-dua rayuan itu, pihak kami telah membincangkannya secara terperinci dan menilai setiap faktor berkaitan kedua-dua kes tersebut,” ujar Presiden FAS, Lim Kia Tong.

“Keputusan ini bukanlah memberi maksud FAS berlembut terhadap gejala rasuah bola sepak, kami tetap berpegang teguh dengan pendirian keras kami yang tidak berbelah bahagi bahawa rasuah tiada tempat dalam bola sepak da tidak akan diterima dalam apa jua bentuk.

“Mana-mana pemain atau pegawai yang didapati bersalah atas kesalahan demikian akan berdepan dengan seberat-berat hukuman mengikut Perlembagaan FAS.”

Lim juga menekankan bahawa FAS telah beberapa kali menolak rayuan kedua-dua mereka yang membuktikan bahawa FAS cukup mengambil serius terhadap gejala rasuah dan mengatur perlawanan.

Kannan dan Rajamanickam juga dikehendaki untuk menjalankan program dan aktiviti yang bertemakan anti-rasuah dalam tempoh enam bulan selepas larangan mereka ditarik balik sama ada secara peribadi, maya atau penerbitan.

Kannan dalam kenyataannya melahirkan penghargaan kepada barisan peguam kerana banyak membantu sehingga berjaya dalam rayuannya.

“Mereka berusaha keras untuk membantu saya. Saya berterima kasih kepada semua pihak atas sokongan mereka, terutama sepanjang tempoh paling ‘gelap’ dalam hidup saya.

“Bola sepak sentiasa menjadi sebahagian dari hidup saya dan saya akan lakukan apa sahaja untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan cara yang penuh bermakna.”

Kannan bukanlah pemain ‘biasa-biasa’ dalam arena bola sepak Liga-M. Ketika mewakili Kuala Lumpur, beliau pernah mennggondol anugerah kasut emas selepas muncul penjaring terbanyak Piala Malaysia dengan mencetak 15 gol.

Skandal rasuah pada tahun 1994 dianggap paling serius dalam sejarah Liga Malaysia di mana dilaporkan lebih 100 orang pemain dan jurulatih telah disiasat bagi kesalahan mengatur perlawanan dalam kejohanan Liga Perdana dan Piala Malaysia.

Semua pemain yang didapati bersalah telah digantung dari terlibat dari menyertai aktiviti bola sepak, didenda malah ada juga yang dibuang daerah.

Bagaimanapun, semua pemain yang digantung telah dibebaskan dari segala kesalahan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2016 dan diberi kebenaran untuk menyertai segala aktiviti bola sepak di bawah kendalian badan induk tersebut.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN