Sebuah sekolah rendah kebangsaan di Teluk Intan melakukan sesuatu yang unik terhadap pasukan bola sepak mereka. Di SK Raja Muda Musa, pasukan bola sepak mereka diurus oleh pengurusan kelab bolasepak yang dianggotai oleh murid-murid mereka sendiri.
Ini bermakna jika sekolah-sekolah lain memberi tanggungjawab penting seperti pengurus pasukan kepada guru, SK Raja Muda Musa memberinya kepada murid.
“Kita ingin mendidik anak-anak yang meminati sukan ini agar belajar tentang selok-belok pengurusan pasukan bola secara profesional sejak kecil lagi,” kata Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Raja Muda Musa, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi kepada Semuanya BOLA ketika majlis pelancaran jersi dan pengenalan penaja di Teluk Intan semalam.
Amir turut menjelaskan guru-guru sekolah tersebut hanya terlibat dalam urusan kewangan kelab. “Semua urusan lain mengenai kelab dan pasukan termasuk jadual latihan serta perlawanan akan diuruskan sendiri oleh murid sambil dibimbing oleh guru dan kami di PIBG.”
“Kita ingin mendidik anak-anak kita yang meminati sukan ini untuk belajar selok-belok pengurusan pasukan bola secara profesional sejak kecil lagi,” tambah Amir lagi. “Usaha ini ternyata mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa.”
Dalam majlis yang turut dihadiri oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tajul Hasnan Omar itu, kelab bola sepak SK Raja Muda Musa yang dikenali dengan nama Kelab Bola Sepak Serasa Scorpio turut memperkenalkan penaja-penaja korporat mereka.
Selain itu, jersi Kelab Bola Sepak Serasa Scorpio turut akan menyampaikan mesej melalui logo pada jersi pasukan iaitu ‘Sifar Ponteng’ dan ‘Sayang Sekolah’.
Dalam majlis sama, PAFA turut memberi berita gembira kepada warga sekolah tersebut apabila mengumumkan persetujuan untuk mengambil Kelab Bola Sepak Serasa Scorpio sebagai kelab angkat PAFA.