Fokus perlawanan seterusnya menjadi keutamaan Melaka United untuk kembali beraksi setelah beberapa pemain skuad terbabit kini bebas daripada wabak Covid-19 untuk perlawanan ketiga menentang Sabah pada 5 April depan.
Muhammad Akram Abdullah selaku pengurus pasukan tersebut menjelaskan segala tumpuan dibuat oleh pasukan mengenai aspek kecergasan bagi perlawanan akan datang dalam sesi latihan setelah kini kem Melaka United bebas dari sebarang gejala itu.
Menurut beliau, setelah kem pasukan diarah menjalani kuarantin yang membabitkan 20 pemain dan pegawai, jelas momentum semasa Melaka United sedikit terjejas dan usaha untuk meningkatkan kembali tahap permainan sedang dibuat oleh pengendali, Risto Vidakovic untuk pastikan para anak buahnya sentiasa bersedia pada perlawanan terbabit.
Muhammad Akram Abdullah, Pengurus Pasukan Melaka United FC#MelakaUnitedFC2022#AllUniteforMelaka pic.twitter.com/DsFaN9m9pu
— Melaka United FC (@MelakaUnitedFC) March 16, 2022
Tambah Akram, walaupun mental para pemin sedikit terjejas, mereka perlu bangkit kembali untuk membentuk keserasian antara satu sama lain dan segera mengikut kehendak corak permainan yang ingin diterapkan jurulatih.
“Kini pemain ditagih untuk benar-benar bersedia memberikan yang terbaik dalam perlawanan berdepan Sabah begitu juga ketika bertemu PIB kelak.
“Terus terang saya katakan situasi yang dialami sedikit mengganggu persiapan pasukan tetapi dengan tempoh masa yang ada, kami menaruh kepercayaan penuh kepada Vidakovic dalam meningkatkan semula moral pasukan dan mencatur taktikal terbaik bagi menghadapi perlawanan mendatang.
“Apa yang kami harap peristiwa pemain positif Covid-19 tidak lagi berulang dalam usaha memfokuskan saingan Liga Super dan Piala FA yang amat mencabar,” katanya menerusi Harian Metro.
Bagi mengelak sebarang kejadian yang tak diingini, beliau berharap semua para pemain dan pegawai mampu mengikut prosedur operasi standard SOP yang telah ditetapkan dalam dan luar padang selain sentiasa mendapat pemantauan doktor.
Sebelum itu, Melaka telah terlepas satu perlawanan pusingan pertama Piala FA untuk menentang kelab dari Liga M3 iaitu PIB FC. Susulan itu, tiket perlawanan yang sudah dibeli penyokong sebelum itu boleh digunakan kembali pada tarikh baru yang bakal diumumkan kelak.
Pada awal musim ini, Melaka mencatat keputusan yang agak hambar sepanjang mereka beraksi walaupun dibarisi dengan pemain-pemain bintang seperti Ifedayo Olusegun, Norshahrul Idlan Talaha, Fadhli Shas, Justin Baas, serta beberapa nama besar lagi.
Ikuti kami di TikTok!
Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.
Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!