Sebut sahaja Kedah Darul Aman (Kedah) kini, segalanya yang dipaparkan mengenai kisah negatif buat tatapan penyokong bola sepak tempatan menerusi isu tunggakan gaji, keputusan perlawanan, serta krisis kewangan.
Sungguh menyayat hati jika kita fikirkan kembali, kerana pasukan ini saban tahun hadir dengan reputasi cukup gah serta sentiasa menjadi tumpuan ramai ekoran reputasi tinggi dimiliki mereka.
Nama Kedah Mungkin Akan ‘Terpadam’ Jua Di Peta Bola Sepak Malaysia
Entah dimana silapnya, sial bercampur malang kini menghimpit pasukan tersebut sehingga nama yang sangat disegani dalam dunia bola sepak Malaysia itu hanya dapat dilihat menerusi kisah-kisah duka sahaja.
Krisis kewangan, tunggakan gaji, tiada penaja utama, serta pemain utama mula meninggalkan kelab sentiasa menghiasi kamar media tempatan dan terus menghakis pasukan itu sedikit demi sedikit untuk terus terhapus daripada peta bola sepak Malaysia.
Tatkala arus kemajuan mula menegur saingan tempatan kita, tidak banyak kelab nampaknya boleh berasimilasi dengan Kedah antara contoh perlu diteladani.
Persoalan demi persoalan ditinggalkan tanpa berjawab tentang siapa perlu bertanggungjawab sebenarnya atas kegagalan Sang Kenari yang kini hampir rebah menyentuh bumi.
Laporan terbaharu dikeluarkan oleh wartawan Astro Arena iaitu Fina Nasrom sudah tentu meruntuhkan lagi semangat para peminat untuk melihat aksi seterusnya membabitkan kelab kesayangan mereka.
BOIKOT 2.0 di Alor Setar
Selepas seri 2-2 dengan Sri Pahang, boikot latihan bersambung rentetan tiada tindakan proaktif dari pihak pengurusan selesaikan isu tunggakan gaji.
19 Oct jumpa TFC guna pemain SUKMA lagi ke ?@ASTROARENA pic.twitter.com/1DAHlWBqQb
— FinaNasrom (@fnasrom) October 2, 2024
“BOIKOT 2.0 di Alor Setar. Selepas seri 2-2 dengan Sri Pahang, boikot latihan bersambung rentetan tiada tindakan proaktif dari pihak pengurusan selesaikan isu tunggakan gaji. 19 Oct jumpa TFC guna pemain SUKMA lagi ke?” itulah kenyataan dikeluarkan oleh Fina di media sosial X semalam.
Ini bukan situasi pertama membabitkan isu boikot dalam kalangan pemain utama Kedah untuk perlawanan domestik, kerana ia telah pun berlaku ketika membabitkan pasukan tersebut bertemu Kuala Lumpur City (KL City).
Pada aksi itu, buat pertama kali dalam sejarah tiada nama besar menghiasi senarai kesebelasan utama atau berada di bangku simpanan, dengan Nafuzi telah meletakkan para pemain daripada skuad simpanan sahaja.
Kini, episod sama dijangka bakal berulang dengan Sang Kenari berkemungkinan besar akan turun tanpa sebarang pemain utama atau kelibat import.
Walaupun begitu, besar harapan supaya segala krisis berkenaan sekurangnya mampu diselesaikan walau sedikit terlebih dahulu kerana Kedah masih memiliki masa untuk memujuk para pemain berkenaan menjalani sesi latihan sebelum aksi pada 16 Oktober mendatang.
Pelangi selepas hujan, mungkin itu yang terus diharapkan oleh para penyokong Sang Kenari atau peminat bola sepak luar untuk melihat pasukan ini kembali bangkit.
Begitulah jua harapan kami di sini.