Sir Matt Busby: Definisi Sebenar Jurulatih Berjiwa Kental Kebanggaan Manchester United

Jangan kata anda penyokong Manchester United jika tidak tahu ataupun tidak mahu ambil tahu dengan nama Sir Matt Busby. Pengurus legenda yang memulakan era kebangkitan sebelum dan selepas tragedi Munich.

Manchester United sudah menyiapkan mural khas untuk memperingati Sir Matt Busby.

Sir Matt Busby hanya dipisahkan dengan garis kecil daripada ajal pada 6 Februari 1958. Sir Matt Busby cedera parah dalam nahas itu, namun berjaya pulih.

Selepas tragedi itu, Sir Matt Busby menyatakan hasratnya untuk tidak lagi menguruskan pasukan bola sepak. Namun sokongan sang isteri beliau, membuatkan Sir Matt Busby kembali kuat dan kembali semula ke dalam dunia pengurusan.

Sir Alex Ferguson: Jangan pernah iktiraf saya terbaik

Sir Alex Ferguson tidak pernah menyatakan dirinya sebagai pengurus terbaik dalam sejarah Man. United kerana beliau percaya orang yang selayaknya mendapat gelaran itu ialah Sir Matt Busby. Meskipun Fergie meraih lebih banyak kejuaraan EPL dan UCL berbanding dengan Sir Matt Busby.

Tanpa Sir Matt Busby, mungkin Manchester United tidak akan menjadi sebesar mereka yang ada pada hari ini. Sir Alex pernah berkata: “Saya berasa bertuah kerana dapat mengikuti Sir Matt, ini kerana saya hanya perlu meneruskan standard yang beliau sudah tetapkan di kelab ini sejak bertahun-tahun yang lalu.”

Fergie menambah, beliau sendiri tidak akan mampu bangkit seperti Sir Matt Busby; diuji dengan kejadian nahas, berjuang untuk pulih secara fizikal dan paling penting adalah mental. Itu perkara yang sangat sukar. Paling teruk, Sir Matt Busby kehilangan 8 pemain yang berjuang untuk beliau dan 3 staf yang beliau sayangi.

Antara pemain yang meninggal dunia dalam nahas itu adalah, Duncan Edwards (meninggal ketika di hospital), satu nama besar dalam bola sepak Eropah ketika itu. Salah seorang pemain yang membuatkan Sir Matt Busby mampu merencanakan taktikal dan strategi di atas padang.

Oleh sebab kehilangan para pemain dan rakan yang beliau sayangi, itu yang membuatkan semangat beliau sedikit luntur, namun selepas itu beliau kembali.

Sir Alex Ferguson dalam ucapan peringatan kepada pemergian Sir Matt Busby berkata: “Saya yakin Sir Matt Busby akan bersama kita di sini selamanya.”

Bukan sahaja Sir Alex Ferguson, malah pengurus legenda Liverpool, Bill Shankly juga menyatakan dirinya tak mungkin akan mampu melakukan apa yang Sir Matt Busby lakukan. Beliau mengibaratkan perjuangan dan kebangkitan Sir Matt Busby menjadikan orang seperti beliau – menjadi budak pengelap kasut Busby pun tidak layak.

Menurut Bill Shankly, walaupun ada perseteruan kuat di antara Liverpool dan Manchester United – namun beliau menyatakan ia tidak sama sekali mengikis rasa hormat beliau ke atas seterunya itu.

Semua orang tahu Sir Matt Busby adalah bekas kapten Liverpool yang terpaksa meninggalkan jawatan dalam kejurulatihan kelab itu kerana tidak sehaluan dengan lembaga pengarah Liverpool ketika itu.

Bill Shankly pernah berkata: “Sir Matt Busby selayaknya mendapat penghargaan sebagai pengurus terbaik sepanjang zaman. Sayangnya, perbezaan pandangan beliau dengan lembaga pengarah Liverpool pada 1945 membuatkan beliau mencari peluang kerja di tempat lain selepas tamat perang dunia.”

Sir Alexander Matthew Busby lahir di Orbiston, Bellshill, Scotland pada 26 Mei 1909. Beliau pernah bermain untuk Alpine Villa dan Denny Hibernian. Selepas itu Busby mendapatkan kontrak pertamanya di Manchester City pada Februari 1928.

Ketika di Man. City, Sir Matt Busby mendapat gaji £5 seminggu. Satu angka yang besar ketika itu untuk pemain remaja yang masih berusia 18 tahun. Manchester United dkemudian berminat untuk mendapatkan beliau. Namun tidak mampu memenuhi tanda harga diletakkan Man. City iaitu sekitar £150.00.

Beliau kekal di Man. City sehingga 1936. Tahun berikutnya, Liverpool mendapatkan Matt Busby dengan yurang perpindahan yang agak besar ketika itu iaitu £8,000. Harga itu sudah cukup untuk menggambarkan beliau menjadi pemain utama Liverpool.

Ketika bermain di Liverpool, beliau menjadi pemain tengah defensif (center-half) dengan Tom Bradshaw dan Jim McDougall. Liverpool ketika itu banyak menggunakan beliau sebagai half-back. Menjadikan gandingan trio itu kerap ditulis oleh sejarawan sebagai salah satu trio pertahanan terbaik dalam sejarah.

Selepas 3 tahun menjadi pemain penting, beliau diberikan jawatan kapten. Beliau mecatatkan 118 penampilan untuk Liverpool. Liga Inggeris ditangguhkan ketika perang dunia ke-2. Selepas tamat perang dunia ke-2, beliau kembali semula ke Anfield pada 1946.

Titian ke Man. United

Pada usia 37 tahun, beliau sedia untuk menjadi jurulatih. Beliau ditawarkan jawatan penolong jurulatih kepada George Kay di Liverpool. Beliau mulai menunjukkan potensi beliau sebagai jurulatih yang hebat dengan idea yang beliau ada.

Namun idea beliau kerapkali dibantah oleh lembaga pengarah kelab dan konflik itu membuatkan beliau keluar dari Liverpool. Sir Matt Busby dilaporkan sangat kecewa dan sedih kerana terpaksa meninggalkan Anfield.

Secara kebetulan, Manchester United sedang mencari pengurus baru. Rakan kepada Sir Matt Busby iaiu Louis Rocca telah menjadi talian penting kepada Sir Matt Busby dan Man. United.

Rocca telah mengaturkan sesi temuduga Matt Busby untuk jawatan tersebut. Pengerusi Man. United ketika itu kagum dengan pembentangan idea beliau dan berjanji akan memberikan sepenuhnya sokongan kepada Matt Busby. Beliau juga akan diberikan kawalan total kepada pengurusan pasukan terutama sekali perpindahan pemain.

Pada ketika itu, sangat sukar mana-mana pengurus pasukan mengawal total semua aspek itu. Ini kerana lembaga pengarah dan juga orang atasan sentiasa menggunakan ‘veto’ mereka.

Beliau kemudian membentuk pasukan Man. United dengan ‘darah muda’ yang digelar Busby Babes. Walaupun beliau mulai berseteru dengan Liverpool, namun dari sudut profesional – beliaulah yang menasihatkan agar Billy Liddell pergi ke Liverpool.

Pemain berusia 15 tahun itu menyertai bekas bos Busby iaitu George Kay dan kemudiannya menjadi salah seorang legenda di Liverpool. Di Liverpool penyokong Liverpool sentiasa menghormati Sir Matt Busby dengan ‘pengecualian khas’. Beliau digelar friendly rival oleh penyokong Liverpool.

Nahas udara Munich 1958

Tragedi Udara Munich 1958. Ada satu jam di Old Trafford masih kekal dibekukan/dihentikan pada 3:04 pada Feb 6, 1958. Satu perkataan di bawahnya ialah Munich.

Ia adalah simbolik di mana Manchester United telah terhenti seketika daripada dunia. Satu tragedi nahas kapal terbang disebut Tragedi Udara Munich berlaku pada tarik 6. Februari 1958 tepat jam 3.04 petang.

Tragedi yang telah meragut 23 nyawa termasuk 8 Busby Babes (pemain United), dan 8 petugas media sebaik sahaja berlepas dari Munich.

Pada 1955, UEFA memutuskan ada kejohanan kelab di antara ahli gabungan mereka dikenali dengan nama Piala Eropah. Kejohanan itu bermula pada musim 1956/57. Namun pada edisi pertama, tiada kelab England menyertainya.

Ini kerana, setiausaha FA England, Alan Hardaker enggan meluluskan penyertaan juara Inggeris 1955/56 – Chelsea untuk menyertainya. Alasannya, Chelsea tidak cukup kuat untuk mewakili England beraksi di Eropah ketika itu.

Pada musim berikutnya, Manchester United menjuarai liga. Mereka menerima nasib yang sama, Alan Hardaker enggan meluluskannya. Kalau Chelsea pun tak boleh inikan pasukan ‘budak-budak’ muda di bawah Sir Matt Busby.

Sir Matt Busby telah mencabar keputusan Alan Hardaker dan menuntut hak mereka dengan merayu kepada Pengerusi FA ketika itu Stanley Rous. Pelepasan oleh Rous bermakna kuasa Alan Hardaker tak terguna pakai. Oleh itu, United adalah kelab Inggeris pertama bermain dalam kejohanan Eropah 1957/58.

Menariknya, skuad yang digelar The Busby Babes, kerana rata-rata pemain muda awal 20-an tahun ini berjaya mara ke separuh akhir kejohanan Eropah. Mereka menyingkirkan Shamrock Rovers dan Dukla Prague pada pusingan awal. Pada suku akhir mereka menentang Red Star Belgrade.

United menang ke atas Belgrade di Old Trafford. Dalam kunjungan mereka untuk timbal balik pada 5 Februari 1958. United sekadar seri. Namun ia sudah cukup untuk mereka mara ke separuh akhir.

United perlu pulang segera ke England kerana hujung minggu ini mereka ada perlawanan Liga Inggeris. Man. United mahu membuktikan mereka sedia bersaing dalam jadual padat bersedia untuk mara lebih jauh dalam Piala Eropah.

Ia lebih kepada mahu menutup mulut Hardaker yang terlalu prejudis ke atas pasukan Inggeris.

Tragedi Udara Munich 1958

Cuaca buruk melanda Eropah ketika itu dan menyukarkan perjalanan melalui jalan udara. Sebelum ini mereka pernah melalui cuaca buruk ini ketika pulang dari perlawanan menentang Dukla Prague pada pusingan sebelum ini.

Mereka terpaksa menggunakan cara alternatif kerana tidak boleh terbang terus dari Prague ke Manchester. Jadi mereka terbang ke Amsterdam, Belanda. Dari sana mereka menaiki feri ke Harwich. Dari Harwich barulah mereka menaiki keretapi ke Manchester.

Satu perjalanan yang sangat memenatkan, namun mereka masih mampu seri 3-3 dengan Birmingham dalam perlawanan liga. Kali ini Mereka terpaksa mendarat di Munich kerana cuaca buruk selepas berlepas dari Belgrade.

Ia mengingatkan kita kepada kapten Edward Smith yang berdegil meneruskan kapal Titanic meredah Iceberg. Difahamkan, Kapten James Thain berkeras mahu meneruskan usaha beliau untuk berlepas daripada lapangan terbang Munich.

Meskipun 2 cubaannya sudah pun gagal kerana masalah enjin. Jadi, beliau meneruskan usaha untuk kali ke-3. Pembantu Kapten, Kenneth Rayment memang tidak yakin ia pilihan selamat namun terpaksa berbuat demikian demi memenuhi jadual penumpang.

Ada beberapa pemain tahu ia mungkin hari terakhir mereka melihat dunia, namun mereka bersedia menerima takdir mereka. Ada yang mulai beralih ke tempat duduk di belakang kerana ia dipercayai lebih selamat. Kapal terbang pun meluncur laju untuk berangkat.

Tidak lama selepas itu, ia telah tergelincir dari landasan dan berlepas tak sempurna serta melanggar pagar lapangan terbang.

Sayap pesawat melanggar bangunan termasuk rumah-rumah yang berhampiran. Komponen peswat mulai rosak dan pecah. Pesawat mulai terbakar dan Kapten Thain mulai panik. Beliau mengarahkan semua orang mengosongkan pesawat kerana beliau khuatir pesawat akan meletup.

Pramugari Rosemary Cheverton dan Margaret Bellis antara yang terawal meninggalkan pesawat dengan terjun melalui pintu kecemasan belakang. Thain menjerit kepada pembantunya kapten Rayment untuk cepat keluar, namun Rayment tersepit. Rayment mengarahkan Thain untuk pergi tanpanya.

Sementara itu, di kabin penumpang, penjaga gol Manchester United, Harry Gregg, gigih menyelamatkan penumpang lain untuk keluar dari pesawat. Beliau hanya berserah dan tahu itu adalah hari untuknya ‘pergi’. Beliau tersedar dari ketika merasa darah yang mengalir.

Beliau melihat ada cahaya dan dari satu lubang. Gregg menendang lubang itu supaya muat untuk dirinya keluar. Beliau berjaya keluar melaluinya.

Bangkit semula

Hanya 9 pemain dan Sir Matt Busby yang terselamat daripada nahas tersebut. Ia bukan alasan untuk United menjadi lemah malah menguatkan lagi tekad mereka untuk membentuk Manchester United baru yang lebih kuat.

Fundamental kepada lebih banyak kejayaan Manchester United selepas itu. 10 tahun selepas peristiwa ini, mereka menjuarai Piala Eropah pertama mereka.

Ia sangat sentimental. Kerana pengurus yang sama melihat cita-cita mereka terkubur di Munich telah membawa United menjuarainya.

Selepas nahas udara 1958, Sir Matt Busby mahu nama The Busby Babes tidak digunakan lagi.

Dari The Busby Babes kepada Red Devils

Sir Matt Busby menjadi orang yang mencetuskan idea untuk menggelar Man. United sebagai Syaitan Merah ataupun Red Devils. Selepas nahas Munich, beliau menganggap sebarang cubaan menyebut The Busby Babes adalah satu ‘penghinaan’ kepada pemain-pemain yang telah meninggal.

Ini kerana bagi Busby, hanya ada 1 era The Busby Babes. Matt Busby setuju untuk membina semula United dengan survival nahas Munich seperti Harry Gregg, Bobby Charlton and Bill Foulkes.

Dalam era pasca nahas Munich, pemain United tidak lagi digelar The Busby Babes meskipun mereka muda. Matt Busby mencari satu nama baru untuk menjadi ‘propaganda’ penaik semangat pemain United.

Ianya adalah diinspirasikan daripada Kelab ragbi Salford yang terletak di Bandar Manchester. Kelab ini diberikan gelaran The Red Devils. Dari mana datangnya?

Dalam satu jelajah kelab ini ke Perancis, mereka adalah pasukan under dog yang menewaskan banyak pasukan besar. Mereka menjadi kelab pertama yang dijemput dalam ragbi jelajah Perancis itu. Salford menjadi pasukan kelab pertama dijemput menyertai jelajah France.

Menariknya, dalam debut mereka, Salford menang kesemua 6 perlawanan berhadapan dengan pasukan besar dalam cara yang digelar media Perancis ‘kejam, dah macam setan.’

Lalu akhbar Perancis menggelar mereka ‘Les Diables Rouges’ ataupun The Red Devils. Semangat Salford ini yang menarik perhatian Sir Matt Busby dan beliau menggunakan gelaran yang sama untuk Manchester United ‘baru’ selepas tragedi Munich.

Sir Matt sangat sukakan gelaran The Red Devils itu kerana nampak sangat ‘setan’ bunyinya kepada lawan mereka. Jadi, sangat jauh bezanya untuk mengaitkan Red Devils dengan kontroversi perkataan Heathens.

Beliau menggabungkan pemain akademi dengan pemain berpengalaman dalam projek membina semula Manchester United. Busby dan The Red Devils menjuarai Piala FA 1963. Mereka menjuarai Liga pada 1965 dan 1967. Hampir menjuarainya pada 1968 tetapi dipintas oleh Manchester City.

Selepas itu lebih banyak kejayaan dicapai oleh Sir Matt Busby bersama Man. United dan menjadikan kelab itu semakin gah dan besar di dunia.

Sir Matt Busby meninggal dunia pada 20 Januari 1994 – pada usia 84 kerana barah – di Alexandra Hospital, Cheadle, Stockport, Greater Manchester. Beliau disemadikan bersebelahan dengan isterinya di tanah perkuburan Southern Cemetery, Manchester.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN