Sir Alex Lupakan Perseteruan Lampau, Hadiri Jemputan Perasmian ‘Kenny Dalglish Stand’

Akhirnya satu daripada antara perseteruan yang pernah berlaku di dalam bola sepak akan berakhir. Sudah pasti ia akan menjadi lebih bermakna apabila dua individu yang mewakili 2 kelab paling berjaya di England akan menoktahkannya dalam satu majlis untuk meraikan salah seorang daripada mereka hari ini.

Liverpool akan mengadakan satu majlis khas untuk menamakan semula Centenary Stand pada hari ini- salah satu bahagian berhadapan Main Stand yang turut mengandungi ruang eksekutif, sempena legenda kelab Merseyside tersebut, Kenny Dalglish.

(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

King Dalglish- sebagaimana beliau dikenali oleh penyokong setia Liverpool, pernah beraksi sebagai pemain dan bertindak sebagai pengurus kelab Merseyside itu.

Bukan sahaja sebahagian daripada stadium itu dinamakan atas nama beliau, malah Dalglish turut diberikan penghormatan untuk menyenaraikan senarai jemputan VIP untuk menghadiri majlis berkenaan.

Dan nama paling menarik perhatian di kalangan jemputan, sudah pasti tidak lain dan tidak bukan ialah Sir Alex Ferguson- seteru Dalglish ketika kedua-duanya adalah pengurus Liverpool dan juga Manchester United di antara 1986 sehingga 1991.

Perseteruan di antara kedua-duanya berlanjutan ketika Kenny Dalglish membimbing Blackburn Rovers di antara 1991 sehingga 1995.

(Photo by Michael Steele/EMPICS via Getty Images)

Bagi mereka yang pernah mengikuti perkembangan bola sepak Inggeris pada era itu, anda pasti mengingati salah satu insiden yang berlaku pada 1988.

Ketika sekumpulan wartawan sedang menemuramah Ferguson selepas perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan 3-3 di Anfield, kebetulan atau tidak Dalglish yang sedang mengendong anak perempuannya Lauren berjalan melalui temuramah tersebut, sempat menyampuk dan berkata:

“Anda semua akan mendapat lebih banyak logik daripada anak perempuan saya.”

Perang mulut di antara kedua-duanya berlanjutan dan pada 2002; walaupung Dalglish bukan lagi pengurus Liverpool pada ketika itu, kenyatan daripada Ferguson: “My greatest challenge was knocking Liverpool right off their fucking perch. And you can print that.” turut mendapat respon daripada Danglish.

Namun perseteruan di antara kedua-duanya mulai surut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

. (Photo by Andrew Powell/Liverpool FC via Getty Images)

Sir Alex Ferguson yang turut mempunyai sebahagian daripada bahagian di Old Trafford dinamakan sempena dirinya bersetuju untuk menghadiri majlis yang turut diadakan sehari sebelum perlawanan membabitkan Liverpool dan Manchester United pada hujung minggu ini.

Selain daripada Sir Alex, seorang lagi legenda Old Trafford iaitu Sir Bobby Charlton turut dijemput oleh Dalglish untuk menjadi saksi hari yang bersejarah buat dirinya dan Liverpool.

Antara jemputan lain yang turut dijemput oleh Dalglish sempena majlis dan perlawanan tersebut ialah pelawak terkenal kelahiran Liverpool, Jimmy Tarbuck, bekas pengurus Gerard Houllier dan bekas pemain seperti Ian St John, Robbie Fowler, Alan Hansen, Phil Thompson serta Steven Gerrard.

Kenny Dalglish memilih supaya majlis tersebut diadakan pada hari ini untuk tidak mengganggu tumpuan pemain kedua-dua pasukan dalam perlawanan yang akan diadakan esok.

(Photo by Peter Byrne/PA Images via Getty Images)

Tidak ada perkara yang menghairankan mengenai perseteruan di antara Sir Alex Ferguson dan juga Kenny Dalglish. Kedua-duanya cintakan bola sepak dan memberi komitmen 100% untuk kelab kesayangan mereka.

Mereka mungkin berseteru di atas padang atas nama untuk menjadi terbaik. Hakikatnya bola sepak bukanlah medan pergaduhan dan provokasi untuk mereka yang benar-benar mengaku cintakan bola sepak.

Benarlah kata salah seorang penulis kami. ‘We Are Rivals, Not Enemies!’

Leave a Reply