Sir Alex Ferguson hampir meletakkan jawatan sebagai pengurus Manchester United selepas bertelingkah dengan pengerusi kelab berkenaan, Martin Edwards sebelum musim gemilang 1998/99 yang menyaksikan gergasi bola sepak Inggeris berkenaan merangkul gelaran ‘treble’ pada musim tersebut.
Pengurus legenda berbangsa Scotland itu hampir mengangkat kaki dari kelab Old Trafford sebelum mereka berjaya menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan juga UEFA Champions League di Barcelona.
Manchester United mengakhiri musim 1997/98 di kedudukan ke-2 di belakang Arsenal. Martin Edwards yang merupakan pegawai eksekutif kelab berkenaan pada masa itu mulai mempersoalkan komitmen yang diberikan Alex Ferguson.
Edwards berbincang dengan pengerusi kelab, Roland Smith berkenaan hal itu sebelum memutuskan untuk menghantar sepucuk surat kepada Ferguson. Surat tersebut tidak diterima dengan baik oleh Alex Ferguson dan hanya mengundang kemarahan daripada pengurus tersebut.
Edwards berkata:
“Kami tidak memenangi sebarang piala dan sejujurnya, kami tidak gemar sutuasi itu. Kami tertanya-tanya sama ada Alex sudah kurang memberikan tumpuan kepada bola sepak memandangkan beliau sudah mempunyai status seperti selebriti.”
“Minatnya terhadap sukan berkuda juga tidak membantu tanggapan sedemikian.”
“Oleh itu, kami luahkan apa yang kami rasa dan Roland berpendapat ia harus disusuli dengan sepucuk surat. Alex menerima surat itu dan terus datang ke pejabat untuk bertemu dengan saya.”
“Saya ingat beliau berkata: ‘Jika ini yang kamu semua fikirkan terhadap saya, maka saya akan meletak jawatan.’ dan beliau terus berlalu pergi.”
“Saya tidak berapa risau akan situasi tersebut, kerana saya percaya Alex akan kembali. Saya gembira kerana telahan saya tepat.”
Selepas kejadian tersebut, Sir Alex Ferguson dikatakan telah menghubungi peguammnya. Selepas perbicangan dengan peguam dan menyedari hakikat bahawa beliau tidak akan mendapat sebarang pampasan dari United, Sir Alex membatalkan niatnya itu.
Sekurang-kurangnya itulah jangkaan Martin Edwards terhadap apa yang berlaku di sebalik pusingan-U yang diambil oleh pengurus yang membawa dominasi Manchester United untuk tempoh tersebut dalam bola sepak Inggeris.
“Tidak ada sebab untuk saya risau. Sir Alex pasti sedar akibat kerana tindakan terburu-burunya. Satu perkara yang pasti ialah saya tidak akan menjadi individu yang popular jika Sir Alex mengambil keputusan untuk pergi pada masa itu,” jelas Martin Edwards kepada wartawan Daily Mail.
Musim berikutnya, Sir Alex Ferguson memimpin kejuaraan ‘treble’ Manchester United, satu pencapaian yang pernah dianggap mustahil satu masa dahulu dalam bola sepak Inggeris.
Sehingga kini, belum ada pengurus dan kelab Inggeris yang mampu mengulangi pencapaian yang telah dilakukan olen Sir Alex dan Manchester United pada musim 1998/99 itu.
Sir Alex Ferguson akhirnya bersara sebagai pengurus Manchester United selepas mengendalikan kelab tersebut selama 26 musim dan memenangi 38 trofi kejuaraan dalam semua pertandingan.
Sumber:
1. Ian Ladyman, Daily Mail (2017): Sir Alex Ferguson quit as Manchester United manager, reveals former Red Devils chief Martin Edwards; http://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-4845002/Ferguson-quit-United-boss-reveals-former-chief-Edwards.html#ixzz4rdrzcTbR