Sebut sahaja nama Sir Alex Ferguson, sudah pasti peminat bola sepak di atas muka bumi ini mengenalinya.
Diiktiraf sebagai salah seorang pengurus terbaik sepanjang zaman, bekas pengendali Manchester United ini mendedahkan pencapaian itu tidak akan hadir tanpa ‘mengorbankan’ kehidupan alam dewasanya.
Ferguson yang kini berusia 81 tahun memahat sejarah bola sepak dengan membimbing The Red Devils mengungguli 13 gelaran Liga Perdana Inggeris di antara tahun 1992 hingga 2013. Beliau juga telah menjulang lima kejuaraan Piala FA, empat Piala Liga dan dua trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
#OnThisDay in 2013:
Man Utd announced that Sir Alex Ferguson would retire at the end of the season.
13 Premier League Titles
Two Champions Leagues
Five FA Cups
Four League Cups
… And the rest.End of an era.#MUFC pic.twitter.com/7jUKPdLWFb
— Match of the Day (@BBCMOTD) May 8, 2019
Menerusi satu dokumentari eksklusif yang menceritakan tentang kehidupan peribadinya “Never Give In.”, beliau mendedahkan kejayaan agung itu tidak hadir tanpa masalah di luar padang dan ada harga yang perlu dibayar.
“Saya mengorbankan kehidupan dewasa saya untuk menjadi seorang pengurus bola sepak,” ujar jurulatih kelahiran Glasgow ini.
“Cathy [Isteri Ferguson] yang mengambil tugas membesarkan anak-anak, kamu tahu,”
Ferguson dan Cathy telah melayari bahtera rumah tangga selama 57 tahun dan mempunyai tiga orang cahaya mata, salah seorang daripadanya adalah Jason yang mengarahkan dokumentari tersebut.
“Jika diimbas semula, saya jarang mendapat peluang itu [membesarkan anak], tetapi Jason menyedarkan saya bahawa saya mempunyai kerjaya sebagai seorang pengurus yang cemerlang,” sambungnya lagi.
“Tetapi bukanlah bermaksud saya mendabik dada apabila saya berkata demikian, tetapi apabila merumuskan keseluruhannya, ia cukup mengagumkan dan saya boleh berbangga dengan semua pencapaian itu.
#OnThisDay in 2013: The Greatest Manager , Sir Alex Ferguson announced he would retire from management at the end of the season after 26 and 1/2 years as Manchester United boss. #MUFC #MUFC_FAMILY
Heart breaking moment 💔 pic.twitter.com/8GdzpfB7rf
— Ganeshstark_ (@ganeshstark_) May 8, 2021
“Tetapi untuk mencapai kejayaan seperti ini, isitilah ‘berkorban’ akan datang sepanjang masa. Jika anda ingin berjaya dalam hidup, anda perlu berkorban.
“Bukan setakat kehidupan berkeluarga anda sahaja diabaikan, diketepikan atau dilupakan, tetapi anda perlu mempunyai dorongan dan jati diri yang kuat untuk berdepan dengan pelbagai perkara untuk memilih di antara kehidupan berkeluarga dan menguruskan pasukan bola sepak.
Ferguson memilih untuk bersara dan meninggalkan Manchester United pada 2013 selepas membawa pasukan tersebut memenangi kejuaraan EPL ke-13 dan digantikan oleh David Moyes.
Sejak itu legasinya juga sedikit demi sedikit berakhir setelah beberapa bekas pemain pentingnya turut mengangkat kaki seperti Wayne Rooney, Paul Scholes, Ryan Giggs dan Rio Ferdinand yang bersara dan menyertai kelab lain.
Pengurus berbangsa Scotland itu mengakui sukar untuk beliau melihat satu demi satu bekas pemainnya meninggalkan Old Trafford.
“Saya rasakan tahun pertama [selepas bersara] adalah cukup ganjil buat hidup saya,” ujarnya lagi.
“Saya bukanlah mahu menjadi terlalu kritis, tetapi apabila saya melihat segelintir pemain saya meninggalkan kelab, saya sukar untuk menerimanya.”
Sehingga hari ini, Ferguson masih setia menonton perlawanan-perlawanan penting United dan kekal menjadi legenda kelab yang pastinya tidak akan dilupakan oleh penyokong setia kelab.