GOOLLLLLLL!!!!!! Hanya selepas 2 minit dan 20 saat dan permulaan yang meyakinkan, pasukan negara sudah mendahului perlawanan ini hasil jaringan Akhyar Rasid.
Bermula dengan hantaran oleh Corbin Ong yang melakukan satu hantaran lolos, Akhyar berjaya mengelirukan seorang pemain pertahanan sebelum melepaskan rembatan di near post untuk gol pertama perlawanan.
Malaysia terus menguasai perlawanan selepas itu dan melakukan beberapa percubaan, termasuk rembatan deras Syafiq Ahmad yang mengegar palang. Rembatan susulan oleh Syamer Kutty bagaimana pun sedikit tinggi.
Filipina yang cemerlang di kejohanan PIala AFF 2020 yang lalu pula seperti tiada jawapan kepada corak permainan pantas tetapi berkesan pasukan Malaysia.
Minit ke-25 sekali lagi gawang Filipina dibocori. Bermula daripada hantaran lolos Safiq Rahim dari bahagian tengah, Syafiq Ahmad kemudiannya berjaya melakukan hantaran lintang rendah cantik menemui Akhyar.
Pemain sayap JDT itu tenang mengawal bola sebelum melepaskan rembatan deras yang tidak memberikan peluang langsung kepada Neil Etheridge untuk gol kedua pasukan negara .
Kad kuning pertama perlawanan dilayangkan kepada Corbing Ong selepas kekasaran ke atas Patrick Strauss pada minit ke-31 perlawanan.
Filipina berjaya memperolehi peluang untuk mengancam daripada beberapa gerakan set pieces yang dimenangi, namun tiada satu pun yang mampu membahayakan gawang negara.
✅ Half Time! 🇲🇾🆚🇵🇭
⁰#SupportLocalFootball #FASTriNationsSeries pic.twitter.com/deNsxW780v
— Lions Of Asia (@LionsOfAsia_SG) March 23, 2022
Malaysia berpeluang menambah gol ketiga perlawanan pada minit akhir babak pertama, namun percubaan Akhyar selepas berjaya mengatasi beberapa pemain pertahanan lawan dengan kelincahannya tersasar di sebelah kiri gawang. 45 minit pertama perlawanan, Malaysia mendahului 2-0.
Babak kedua bermula Filipina cuba mengubah arus perlawanan dan berjaya melakukan beberapa gerakan satu dua menarik di luar kotak penalti. Usaha tersebut bagaimana pun tidak cukup untuk menggugat barisan pertahanan pasukan negara yang bertahan sebagai sebuah unit.
Malah serangan balas pantas pemain Malaysia setiap kali berjaya merampas penguasaan bola tampak lebih mengancam sehingga membuatkan pemain Filipina terpaksa menggunakan kekerasan untuk mengekang asakan pasukan negara.
Malaysia melakukan beberapa pertukaran selepas hampir sejam perlawanan berlangsung,untuk memberikan peluang kepada Liridon Krasniqi, Mohamadou Sumareh, dan Aidil Zafuan.
Pasukan negara kemudiannya melepaskan beberapa peluang keemasan untuk menambah jaringan, antaranya gerakan Sumareh yang diikuti oleh hantaran yang gagal disambar mana-mana pemain, selain percubaan lemah Kogileswaran.
Kim Pan-gon kemudiannya memasukkan Safawi Rashid dan Nor Azam Azih, menggantikan Syafiq Ahmad dan Kogileswaran. Quentin Cheng turut dibawa masuk pada 10 minit terakhir perlawanan menggantikan Arif Aiman, namun situasi tersebut tidak mengubah keadaan.
Malaysia berjaya mendominasi permainan namun gagal memburu gol ketiga yang dicari-cari. Usaha Filipina mencari gol sagu hati juga menemui jalan buntu. Tamat 90 minit perlawanan, Kim Pan-gon meraih kemenangan pertamanya bersama Harimau Malaya.